KOTA BHARU: Kerajaan
negeri menyediakan tajaan berjumlah RM10,000 bagi membantu pasukan yang muncul
sebagai johan dan naib johan Piala Menteri Besar (MB) 2026 menyertai Liga A3
musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, bantuan berkenaan sebagai komitmen kerajaan membuka laluan kepada pasukan terbaik Liga Elit Dun (LED) melangkah ke tahap lebih tinggi.
Katanya pasukan terbaik itu dihasilkan daripada kejohanan Liga Elit Dun yang menjadi medium penting melahirkan pemain berbakat.
“Kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai anak Kelantan mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk ke peringkat negeri, kebangsaan dan profesional.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang kuat fizikal, kuat mental dan kuat nilai diri,” katanya pada pelancaran Liga Elit Dun Kelantan 2026 semalam.
Beliau berkata, Kelantan mempunyai ramai pemain berbakat yang lahir dari padang kampung melalui kejohanan seperti LED.
Katanya juga penglibatan aktif belia dalam sukan boleh menjauhkan mereka daripada gejala sosial termasuk dadah, lumba haram dan budaya negatif.
“Apabila anak muda sibuk dengan aktiviti sihat, mereka akan lebih fokus kepada pembangunan diri dan komuniti. Kita mahu membina ekosistem belia yang aktif, sihat dan bermaruah,” ujarnya.
Menurutnya juga Liga Elit Dun boleh disertai pengundi berdaftar dari setiap Dun, manakala pasukan yang menang dibenarkan menggunakan pemain luar kawasan parlimen.



0 Comments