Oleh Salmah Mat Husain |
MACHANG: Projek
tanaman Melon Manis Machang (3M) berpotensi muncul sebagai produk
pertanian premium di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, projek berasaskan sistem fertigasi moden itu mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat.
Menurut beliau, pembangunan projek tersebut bukan sekadar tertumpu kepada pengeluaran hasil pertanian semata-mata, malah membina jenama serta identiti khas bagi jajahan Machang.
“Melon Manis Machang mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai produk premium di Kelantan.
“Penggunaan sistem fertigasi moden mampu menghasilkan buah berkualiti tinggi dengan tahap kemanisan antara 14 hingga 18 brix ,” katanya pada program tuaian hasil projek Melon Manis Machang di sini baru-baru ini.
Projek tersebut dibangunkan di kawasan seluas 2.5 ekar melibatkan 5,000 polibeg dan dijangka mampu menghasilkan sehingga 6,750 kilogram setiap musim.
Kata beliau nilai jualan kasar dianggarkan mencecah RM81,000 dengan tempoh matang tanaman hanya kira-kira tiga bulan.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk memanfaatkan tanah pertanian terbiar bagi meningkatkan pengeluaran makanan demi menjamin keterjaminan makanan negara.
“Kalau berlaku krisis makanan dunia, negara luar mungkin tidak lagi mengeksport makanan kepada kita,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian moden dan menimba pengalaman melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkan mempunyai masa depan cerah.
“Jangan hanya fikir kerja pejabat sahaja kerana banyak pekerjaan akan diambil alih teknologi. Kita kena cipta pekerjaan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, idea projek tersebut dicetuskan oleh Ketua Jajahan Machang, Mohd Zamri Ibrahim bagi mewujudkan identiti tanaman khas untuk jajahan berkenaan.
Menurut beliau, projek terbabit menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk petani, pegawai pertanian dan agensi berkaitan.
Katanya, faktor tanah yang sesuai, bebas banjir serta pengalaman petani tempatan turut menyumbang kepada kejayaan projek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan projek tersebut yang melibatkan kos lebih RM500,000.
Menurut beliau
juga kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi konsep
kontrak ladang akan membantu memperluaskan pasaran Melon Manis Machang ke
seluruh negara.
Katanya juga kerajaan negeri akan menyediakan latihan, bimbingan dan bantuan pemasaran bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani khususnya dalam kalangan belia dan beliawanis.




0 Comments