Oleh Salmah Mat Husain |
JELI: Kerajaan
negeri merancang mewujudkan kilang makanan ternakan yang dilengkapi kemudahan pengeringan
bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan mentah yang diimport.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sekiranya berjaya ia boleh menjadi projek perintis.
Selain itu dapat membantu penduduk memanfaatkan tanah-tanah terbiar dengan tanaman jagung bijian bagi menghasilkan makanan ternakan.
“Kerajaan negeri berusaha mempergiatkan tanaman jagung bijian khusus bagi industri makanan ternakan melibatkan keluasan 50 ekar termasuk di Jeli dan Kuala Krai.
“Setakat ini sebanyak 30 ekar tanaman jagung bijian diusahakan di Jeli dan selebihnya akan diperluaskan ke Kuala Krai sebagai langkah memperkukuh bekalan makanan ternakan tempatan,” katanya selepas melawat projek tanaman jagung bijian di sini, baru-baru ini.
Projek tersebut dilaksana dengan kerjasama syarikat Damai Sdn Bhd bersama rakan strategik industri.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, projek berkenaan menyediakan bekalan jagung untuk makanan unggas seperti ayam, itik dan menghasilkan silaj bagi makanan lembu, kambing dan kerbau.
Menurutnya jagung bijian merupakan antara bahan utama dalam formulasi makanan ternakan. Manakala batang dan daun jagung diproses menjadi silaj untuk ternakan.
Beliau berkata, projek bernilai RM900,000 itu dijangka mampu menghasilkan sehingga 100 tan jagung bagi fasa percubaan dengan nilai kasar melebihi RM180,000.
Tambah beliau, tanaman jagung bijian mencapai tempoh matang sekitar 110 hingga 120 hari berbanding jagung biasa hanya sekitar 75 hari.
“Jagung ini khusus untuk makanan ternakan kerana bijinya lebih keras dan perlu dikeringkan terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Projek Jagung Bijian, Muhammad Nor Firdaus Nordin berkata, projek tersebut membuka peluang pekerjaan kepada graduan tempatan dalam bidang pertanian.
Kata beliau sekarang seramai 10 pekerja menggerakkan projek tanaman jagung bijirin, di mana sebahagiannya graduan.
Menurutnya tugasan pekerja melibatkan penyiraman tanaman, pembajaan, kawalan serangga serta pengendalian mesin dan traktor di ladang.
“Kalau musim panas kita ubah sedikit jadual kerja. Tengah hari pekerja berehat lebih lama dan sambung semula kerja pada sebelah petang,” ujarnya.
Tambahnya, tanaman jagung bijian tidak rumit untuk diuruskan sekiranya pekerja mempunyai pengalaman dan sistem pengurusan yang baik.



0 Comments