Pelancong tidak minat hiburan melampau

Oleh Salmah Mat Husain |

KUALA TERENGGANU: Sektor pelancongan di negara ini tidak bergantung kepada penganjuran hiburan melampau semata-mata, sebaliknya perlu berpaksi kepada keunikan produk tempatan dan kekayaan budaya sedia ada.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, kenyataan sesetengah pihak yang mengaitkan penganjuran Rain Rave bagi mengelakkan sektor pelancongan menjadi ‘lesu’ merupakan persepsi mengelirukan.

Katanya, kekuatan sebenar pelancongan Malaysia terletak pada kestabilan pendekatan yang diambil serta pemeliharaan identiti nasional tanpa perlu meniru budaya asing yang tidak berakar dalam konteks tempatan.

“Terengganu mencatat peningkatan ketara kehadiran 2.45 juta pelancong bagi suku pertama tahun 2026 berbanding 2.03 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Lonjakan itu menjana pendapatan antara RM700 juta hingga RM900 juta sekali gus membuktikan pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi mampu berkembang tanpa bergantung kepada hiburan keterlaluan,” katanya pada kenyataan semalam.

Baru-baru ini Kementerian Pelancongan mengan festival Rain Rave di Bukit Bintang sebagai usaha bagi menarik kedatangan pelancong.

Dr Balachandran juga berkata, festival seperti Songkran mempunyai latar belakang budaya yang jelas, manakala acara Rain Rave tidak mempunyai akar budaya tempatan yang kukuh.

Katanya, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, setiap bentuk hiburan mestilah disesuaikan dengan nilai, adab dan batasan yang dihormati majoriti rakyat.

“Penganjuran acara seumpama itu  melibatkan unsur percampuran bebas dan hiburan berlebihan yang tidak selari dengan normal masyarakat.

“Ini bukan soal menolak hiburan secara keseluruhan, tetapi menuntut agar ia disesuaikan dengan nilai dan cara hidup kita,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Terengganu sebagai model seimbang apabila pembangunan pelancongan berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai syariat.

“Hakikatnya, setiap hujung minggu dan musim cuti, negeri ini sentiasa dipenuhi pelancong,” katanya.

Post a Comment

0 Comments