
ALOR SETAR: Amat
malang apabila ada segelintir pegawai tinggi dan pentadbir universiti didakwa tunduk
kepada tekanan politik sehingga gagal mempertahankan dasar pendidikan negara.
“Hentikan budaya mengampu. Jangan main politik dan jangan jadi alat orang politik. Buat kerja dengan penuh tanggungjawab, berani dan tegas,” kata Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah pada kenyataan.
Beliau berkata, jawatan penting seperti ketua pengarah dan naib canselor sepatutnya dipikul dengan prinsip serta keberanian mempertahankan kepentingan negara, bukannya menjadi ‘budak suruhan’ mana-mana pihak berkepentingan politik.
Kata beliau amat memalukan apabila ada pegawai tinggi menyebut membuka laluan untuk kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sebagai bukan sebagai pengiktirafan rasmi.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof Azlinda Azman dilapor menjelaskan pembukaan ruang kemasukan lepasan UEC bukan sebagai pengiktirafan rasmi terhadap silibus UEC ke IPTA.
Menurutnya terdapat perbezaan antara kelayakan UEC dan sijil pelajaran di Malaysia, di mana syarat itu hanya bertujuan memberi akses pendidikan tinggi kepada pelajar terlibat.
Dr Haim Hilman berkata, apabila sudah membuka laluan itu bermakna sudah memberi pengiktirafan.
Oleh itu beliau menyifatkan tindakan membuka laluan kepada lepasan UEC ke institusi IPTA sebagai ‘hari hitam’ kepada sistem pendidikan tinggi negara.
Sementara itu Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin pula berkata, sambutan Hari Guru tahun ini dicemari dengan pengumuman kerajaan UEC diterima untuk kemasukan ke IPTA.
Katanya, sejak sekian lama rakyat Malaysia memperjuangkan agar semua medium pendidikan harus berpaksikan kepada sistem pendidikan negara.
“UEC adalah sijil yang tidak memenuhi syarat tersebut dan sekian lama kita mendesak agar sijil itu patuh kepada Dasar Pendidikan Negara atau ia tidak akan diiktiraf.
“Namun pada Khamis lepas kerajaan mengumumkan UEC diiktiraf sebagai salah satu syarat kemasukan ke IPTA.
“Lebih menjijikkan lagi, sistem pendidikan tahfiz pula ditunggang demi untuk menghalalkan pengiktirafan UEC dengan menggandingkan kedua-dua kelulusan dalam keputusan tersebut,” katanya.
Menurutnya lebih menyedihkan perkara itu berlaku ketika Kementerian Pendidikan Tinggi diterajui seorang menteri dari Umno, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir.



0 Comments