Oleh Salmah Mat Husain |
PASIR PUTEH: Tok
Bali memiliki kelebihan kerana lokasinya hanya sekitar 140 kilometer dari
kawasan operasi North Malay Basin berbanding pangkalan lain lebih 390
kilometer.
Faktor tersebut membolehkan operasi logistik dan penyelenggaraan luar pesisir dilakukan dengan lebih pantas serta menjimatkan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronaim, Wan Nazaruddin Wan Nawi berkata, pihaknya menjalankan aktiviti penyelenggaraan luar pesisir bagi syarikat ‘offshore’ di Pantai Timur.
Selain itu, memberi penekanan kepada proses ‘localization’ bagi memperkukuhkan penglibatan vendor serta tenaga kerja tempatan.
“Pembangunan industri ini akan membuka peluang kepada vendor tempatan, kontraktor, pembekal bahan mentah dan tenaga kerja mahir anak Kelantan.
“Petronaim bukan sahaja terlibat dalam operasi teknikal, malah berperanan sebagai rakan strategik dalam pengurusan dan perundingan kontrak bersama pemain industri minyak dan gas termasuk syarikat luar negara,” katanya pada perasmian operasi Petronaim di sini, baru-baru ini.
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan. Hadir sama wakil-wakil rakyat, pegawai Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan Penggawa Daerah Semerak Dr Mustafa Ahmad.
Beliau juga berkata, Petronaim merancang menubuhkan Petronaim Academy bagi melatih lepasan SPM dan belia tempatan dalam bidang teknikal seperti welding, fitter, piping dan electrical and instrumentation.
Menurutnya matlamat utama untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir anak tempatan bagi membina kerjaya profesional dalam industri minyak dan gas.
Sementara itu Timbalan Menteri Besar berkata, Tok Bali melakar transformasi besar apabila muncul sebagai hab logistik maritim dan industri sokongan minyak serta gas di Pantai Timur Semenanjung.
Katanya pembukaan operasi Petronaim mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri khususnya di kawasan strategik di Tok Bali.
Menurutnya, Tok Bali tidak lagi hanya dikenali sebagai kawasan perikanan dan pelabuhan tradisional, sebaliknya berkembang sebagai pusat industri maritim, tenaga dan aktiviti ‘offshore’.
“Tok Bali berkembang sebagai hab logistik maritim, industri sokongan minyak dan gas serta pusat aktiviti offshore yang penting di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Tok Bali berhampiran kawasan operasi North Malay Basin memberi kelebihan strategik berbanding lokasi lain di Pantai Timur.
Katanya, pembangunan tersebut turut diperkukuh dengan pelaksanaan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal memperluas jaringan logistik serta perdagangan negeri.
“Kelantan muncul sebagai pintu masuk strategik baharu yang mampu menghubungkan Pantai Timur dengan pasaran domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Menurutnya juga Petronaim bukan sahaja mampu menjadi pemain industri yang berjaya, malah berperanan sebagai rakan pembangunan negeri melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Saya berharap lebih ramai pemain industri datang ke Kelantan bukan sahaja untuk mencari peluang perniagaan, tetapi turut bersama menjayakan agenda pembangunan insan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menjadi rakan strategik kepada pihak industri demi memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.




0 Comments