KUALA LUMPUR: PAS memandang serius pertuduhan yang dikenakan ke atas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Haim Hilman Abdullah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang dianggap sebagai pendakwaan terpilih.
Setiausaha Agung PAS Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS secara konsisten mengecam sebarang tindakan seperti itu lebih-lebih lagi isu ditimbulkan Dr Haim berkaitan akses kepada pendidikan dan beliau merupakan tokoh yang terlibat dalam bidang pendidikan sejak sekian lama.Katanya trend mendakwa ahli politik pembangkang pada kadar yang segera dan cepat secara berterusan juga menjadi indikator wujud pendakwaan terpilih.
"Amatlah menghairankan ramai ahli politik kerajaan yang lebih lantang menyentuh isu-isu sensitif termasuk 3R serta membuat kenyataan-kenyataan jelek melampau, tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya pada kenyataan hari ini.
Hari ini Dr Haim yang juga Adun Jitra dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas dakwaan menimbulkan kebimbangan orang awam menerusi kenyataannya berkaitan kemasukan ke universiti awam pada ceramah baru-baru ini.Pada program ceramah terbabit Dr Haim dilapor mendakwa 'Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang..'
Takiyuddin juga berkata, ucapan Dr Haim pada program 13 Jun lalu bersifat menegur serta merupakan langkah semak dan imbang terhadap polisi kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi secara berfakta dan tidak emosional.
"Justeru PAS dengan tegas menuntut hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh semua pihak," katanya.
.



0 Comments