SEREMBAN: "Silakan lakukan apa sahaja, termasuk menggari saya, selagi kalian masih berkuasa. Dihadapkan ke mahkamah jauh lebih ringan daripada melihat ribuan anak-anak miskin terus dinafikan peluang ke universiti awam. 

"Saya akan terus bersuara sehingga hak mereka dikembalikan. Sukacita ingin saya maklumkan, pertuduhan hari ini sebenarnya telah membuka pintu banyak lagi isu kritikal di belakangnya," kata Dr Mohd Haim Hilman Abdullah.

Anggota Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, beliau telah meneliti laporan tahunan hampir 20 universiti awam dari tahun 2018 hingga kini. 

Katanya banyak lagi perkara yang akan dibangkitkan demi memastikan sistem pendidikan tinggi negara benar-benar berkualiti, adil dan berpaksikan kepentingan rakyat.

"Demi anak Malaysia, demi pendidikan yang adil. Perjuangan ini tidak akan terhenti di sini," katanya pada kenyataan di laman sosial.

Hari ini Dr Haim didakwa di bawah Seksyen 505(b), Kanun Keseksaan [Akta 574] di Mahkamah Majistret Seremban berhubung kenyataan pada program ceramah mengenai isu akses kepada pendidikan tinggi demi mempertahankan hak anak-anak Malaysia, khususnya keluarga B40 dan M40.

Mahkamah membenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 tanpa sebarang syarat tambahan. Tiada sekatan perjalanan dikenakan dan tiada larangan bersuara (gag order). Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai hadapan.

Pada kes itu beliau dibela pasukan peguam diketuai Mohd Faizi Che Abu bersama Dr Yusfarizal Yussof. Selain itu dibantu Mardhiyyah Johari, Yahaya Othman, Tajudin Razak dan Dzafir Firdaus.

Dr Haim berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan mengemukakan fakta, data serta dokumen yang berkaitan melalui saluran mahkamah.

Menurutnya apa yang dibangkitkan bukan demi kepentingan peribadi, sebaliknya demi hak anak-anak Malaysia untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang adil. 

"Saya menegaskan bahawa isu ini mempunyai asas yang kukuh dan wajar dinilai berdasarkan fakta, data serta prinsip keadilan.

"Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang hadir dari seluruh negara dan di media sosial yang memberi sokongan kepada saya. Saya amat hargai dan terharu " ujarnya.