Oleh Tuan Arjuna Beta |
Foto Unit Komunikasi Korporat PKINK |
KOTA BHARU: Orang ramai berpeluang membeli durian kunyit pada harga mampu milik di Dataran Maharani selama dua bulan mulai semalam yang dikendalikan Darulnaim Agro Management Industries (DAMAI)
Manakala di lokasi sama KALA Sentral menyediakan ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk makanan dan kraftangan Kelantan.
Dataran Maharani terletak bersebelahan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan menjadi lokasi tumpuan ramai selepas pelancaran Program KALA @ Dataran Maharani semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Sr. Zamri Ismail berkata, pembangunan Dataran Maharani merupakan antara inisiatif projek kecil berimpak tinggi yang dilaksanakan PKINK dengan kerjasama Kementerian Ekonomi.
Katanya, projek berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM600,000 menerusi Program Projek Kecil Impak Tinggi/People Centric bagi memberi nafas baharu kepada landskap bandar melalui penyediaan ruang rekreasi, pelancongan dan sosial yang lebih berkualiti kepada masyarakat.
Menurutnya, Dataran Maharani diharap menjadi mercu tanda baharu serta mampu memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat melalui aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak.
"PKINK turut memberi perhatian terhadap sektor seni dan budaya negeri menerusi tajaan pelancaran lagu baharu seniman tempatan Rozi Kemang Berduri berjudul “Tupe Dibucu Dunia” sebagai usaha mengangkat warisan Kelantan ke peringkat lebih luas," katanya pada program berkenaan.
Perasmian disempurnakan anggota Exco Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat. Turut hadir Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Dato' Zulkifle Ab Rahman.Sementara itu, Wan Roslan berkata, usaha menaik taraf Dataran Maharani membuktikan komitmen PKINK dalam usaha membantu kerajaan negeri membangunkan bandar Kota Bharu dengan mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan kondusif.
Katanya, kemudahan yang disediakan di kawasan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing dan mampan.
"PKINK dipertanggungjawab membangunkan ekonomi Kelantan melalui pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, perladangan dan pertanian," katanya.
Beliau turut berharap masyarakat menyokong produk dihasilkan peniaga tempatan yang terbabit sektor perusahaan kecil dan sederhana.
Katanya juga sokongan terhadap industri seni dan budaya penting bagi memastikan warisan tempatan terus berkembang, selain memperluaskan potensi sektor pelancongan negeri.


0 Comments