Johor jadi tumpuan pelancong kesihatan dari Batam

BATAM: Johor kini menjadi tumpuan golongan kelas atasan penduduk Batam bagi mendapat rawatan perubatan pakar berbanding Singapura sebelum ini.

Kos rawatan pakar yang tinggi dan tukaran mata wang Rupiah berbanding Dollar Singapura menyebabkan golongan terbabit beralih dari Singapura ke Johor.

Seorang penduduk tempatan, Johni Rimando memberitahu penduduk yang berduit di Batam berminat mendapat rawatan pakar di Johor kerana kos perubatan jauh lebih rendah.

"Dahulu memang Singapura menjadi pilihan golongan atasan Batam untuk mendapat rawatan pakar. Penduduk yang berduit suka mendapat rawatan di negara jiran kerana kaedah rawatan lebih terperinci.

"Mereka tidak berpuas hati mendapat rawatan di tempat sendiri kerana menganggap menganbil masa agak panjang bagi menjalani proses rawatan," katanya ketika ditemui di sini.

Johni yang juga pemandu pelancong ditemui ketika mengendalikan lawatan rombongan seramai 19 pelawat dari Tumpat, Kelantan yang diketuai Mohd Yasin Yusof. Lawatan tersebut menggunakan khidmat agensi pelancong Bahtera Kembara Holidays dari Kota Bharu.

Batam mempunyai kawasan seluas lebih kurang 1.647,83 Km persegi yang terdiri daripada lautan 1.035,30 km persegi dan daratan 612,53 km persegi di mana merangkumi banyak pulau yang berada di wilayah Kepulauan Riau. 

Batam terdapat 186 pulau, di mana 80 pulau dihuni dan 106 pulau lagi masih kosong. Tiga pulau yang agak besar iaitu Pulau Batam dengan keluasan kurang lebih 415 km persegi. Selain itu terdapat Pulau Bulan dan Kepala Jeri. 

Batam terletak begitu strategik dengan jarak 20 km dari Singapura dan sejam setengah pelayaran menggunakan feri dari Pasir Gudang, Johor.

Pulau Batam juga sudah banyak berubah kini muncul menjadi kawasan perdagangan dan perindustrian. Pembangunan semakin pesat dan prasarana awam dipertingkatkan bagi kemudahan penduduk tempatan dan pelancong.

Johni juga berkata, sektor pelancongan di Batam sekarang semakin rancak dengan mencatat jumlah pelancong dari Malaysia lebih ramai berkunjung ke Batam berbanding dari Singapura.



Post a Comment

0 Comments