Di Kelantan ada patung Buddha terbesar

 
TUMPAT: Biarpun Kelantan ditadbir PAS di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak lebih 35 tahun lepas, namun penduduk bukan Islam boleh mengamalkan agama mereka tanpa sebarang masalah.

Malah, di Kelantan terdapat patung Buddha terbesar di negara ini termasuk di Wat Machimmaram, Tumpat.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Halim Tamuri berkata, di Kelantan ada patung Buddha duduk terbesar di Malaysia.

Katanya delegasi Adun dan Ahli Parlimen PAS Selangor melawat Wat Machimmaram yang menjadi salah satu tarikan pelancong di Kelantan.

“Kami juga dibawa ke Kedai Kak Pah Abe Loh Ikan Bekok, di Pantai Geting menikmati makan tengah hari. Sedap sengoti make (makan) ike bekok cicoh budu.

“Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Laman Warisan Kampung Laut, sebuah lokasi yang mengetengahkan khazanah sejarah dan warisan Islam Negeri Kelantan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.  

Sabtu lepas pimpinan PAS Selangor mengadakan perjumpaan mahabbah dan perkongsian dua hala dengan PAS Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Kunjungan rombongan dari Selangor ke Kelantan diraikan Setiausaha Perhubungan PAS negeri Dato' Wan Roslan Wan Hamat dan ahli parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Dr Halim juga berkata, antara tarikan utama Laman Warisan Kampung Laut iaitu Masjid Kampung Laut, yang menjadi simbol kegemilangan tamadun Islam serta warisan bersejarah.

“Semoga ukhuwah yang terjalin terus diperkukuh dan segala manfaat daripada pertemuan tersebut dapat diterjemahkan dalam gerak kerja yang lebih berkesan demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Wan Roslan turut berharap kunjungan tersebut dapat memperkukuh ukhuwwah, mengeratkan hubungan antara PAS Kelantan dan Selangor dalam usaha memperkasakan gerak kerja perjuangan.


 

Post a Comment

0 Comments