PH sudah lama juarai politik ekstrem

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Setiap kali pilihan raya sebelum ini pemimpin DAP sering mengaitkan PAS dengan isu hudud, Taliban, negara Islam dan pelbagai gambaran ekstrem, malangnya Presiden Amanah hanya berdiam diri.

Namun, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, Dato’ Seri Mohamad Sabu menganggap pembangkang memainkan politik ketakutan sebagai modal politik.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tiba-tiba selepas kerajaan PH ditolak rakyat Negeri Sembilan beliau menyebut pula politik ketakutan merosakkan demokrasi.

Katanya, alasan tersebut sekadar mahu menutup kelemahan PH sendiri.

“Dakwaan tersebut gagal menjawab persoalan lebih besar mengenai siapa sebenarnya yang sekian lama menjadikan politik ketakutan sebagai modal pilihan raya.

“Mat Sabu seolah-olah terlupa DAP sejak sekian lama menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu terhadap PAS termasuk isu Taliban dan hudud,” katanya di sini.

Ketika kempen PRN Negeri Sembilan baru-baru ini Mat Sabu mengingatkan pengundi Melayu tidak membuat pilihan berasaskan ketakutan atau sentimen perkauman, sebaliknya menilai parti dan calon berdasarkan fakta, integriti serta amanah.

Menurutnya, sentimen anti DAP masih kuat dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dipercayai terbentuk hasil naratif politik yang dimainkan sejak sekian lama.

Firdaus berkata, PH dilihat terlalu bergantung isu PAS dan Kelantan sebagai bahan kempen sehingga menyebabkan pengundi menjadi muak.

Menurutnya, rakyat pernah memberi mandat kepada PH pada 2018, kemudian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini mengangkat Barisan Nasional (BN) dan PN di Negeri Sembilan.

“Ini menunjukkan pengundi membuat pilihan berdasarkan pelbagai faktor seperti kepimpinan, calon, isu tempatan, kos sara hidup, ekonomi dan keyakinan terhadap kerajaan, bukan semata-mata kerana sentimen identiti,” katanya.

Oleh itu beliau menggesa pemimpin PH melakukan muhasabah dan tidak sekadar menuduh lawan bermain politik identiti setiap kali mengalami kekalahan dalam pilihan raya.

“Jangan hanya mengecam apabila terkena kepada PH, tetapi menghalalkan naratif yang sama apabila digunakan terhadap PAS dan Kelantan,” katanya.


Post a Comment

0 Comments