Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Seramai 27 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapor Isnin lepas, menerima sumbangan kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah petang semalam.
Sumbangan terbabit disampaikan Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di lokasi kejadian.
Katanya sumbangan berkenaan diberi kepada mangsa terbabit bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka susulan kejadian tersebut.
Kata beliau, bantuan awal turut disalurkan oleh beberapa agensi dan pertubuhan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.“Mangsa yang terlibat kini ditempatkan di surau dan masjid berhampiran. Alhamdulillah tempat perlindungan sementara dapat disediakan dan segala keperluan asas termasuk makan minum turut diselaraskan dengan baik,” katanya selepas menziarahi mangsa kebakaran di tapak kejadian petang semalam.
Hadir sama Adun Kijang, Dato Dr Izani Husin, anggota Exco kerajaan negeri Dato Rohani Ibrahim, Ketua Polis Kelantan Dato Mohd Yusoff Mamat.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersyukur kerana kebakaran tersebut tidak mengakibatkan kehilangan nyawa memandangkan sebahagian penghuni berada di luar kawasan ketika kejadian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan dan penyelamat yang bertindak pantas mengawal kebakaran serta membantu mangsa.Mengulas cadangan penempatan baharu kepada mangsa, beliau berkata perkara itu akan diteliti terlebih dahulu termasuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai status tanah yang terlibat.
“Kita akan bincang kemudian. Kita perlu melihat beberapa perkara termasuk status pemilikan tanah. Saya difahamkan kawasan itu merupakan tanah yang disewa dan bukan milik penghuni terbabit,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan bantuan tambahan bagi membantu mangsa membina semula kehidupan baharu.
Selain kerajaan negeri, beberapa agensi lain turut menghulurkan bantuan termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Purnama) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).“Harta yang musnah adalah milik Allah SWT. Kadangkala Allah menguji manusia dengan sedikit ketakutan, sedikit kelaparan atau kehilangan sebahagian harta benda.
“Kalau kita tidak menerima qada dan qadar Allah SWT, kita akan terus mempersoalkan mengapa perkara itu berlaku. Sebaliknya, sebagai orang beriman kita perlu menerima ujian ini dengan sabar dan reda,” katanya.
Pada kejadian kebakaran yang bermula jam 12.30 petang 8 Jun lalu, memusnahkan 27 rumah penduduk membabitkan 130 mangsa.Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol.





0 Comments