Tok Lebai pun mampu tadbir negeri

KOTA BHARU: Keupayaan PAS mentadbir Kelantan melewati tempoh hampir 36 tahun bukan sesuatu yang mudah kerana terpaksa berdepan dengan banyak halangan politik dan kerenah birokrasi.

Sebaik sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Kelantan pada Oktober 1990, banyak projek yang sudah dilulus kerajaan Pusat sebelum itu dibekukan. Antaranya projek Bekalan Air Kelantan Utara.

Akibat tindakan dendam politik itu menyebabkan kerajaan yang diterajui PAS terpaksa membuat pinjaman wang daripada institusi kewangan bagi meningkatkan projek bekalan air.  

Hanya selepas tahun 2000 barulah projek bekalan air dilulus kerajaan Pusat di Kelantan dalam bentuk pinjaman, sedangkan negeri-negeri lain diberi melalui geran bantuan. 

Biarpun berdepan dengan tekanan demi tekanan daripada Persekutuan, namun kerajaan negeri yang diterajui Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terus bertahan.

Keupayaan PAS mempertahankan kerajaan negeri dalam tempoh begitu lama membuatkan banyak pihak hairan, apa resepi digunakan sehingga berjaya membawa Kelantan ke era baharu seiring dengan negeri-negeri lain.

Sebahagian kejayaan Kelantan di bawah teraju PAS dicatat semula bekas editor Harakah, melalui buku ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ yang diterbit sempena sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan.

Buku setebal 250 mukasurat memuat 16 topik yang bermula dengan penubuhan PAS di Seberang Prai Pulau Pinang pada 23 Ogos 1951.

Peristiwa itu dirakam dalam bab satu dengan tajuk Orang Melayu Bangkit. Bab-bab lain iaitu Pondok Lokasi Awal PAS, PAS Bertapak di Kelantan, Kerajaan PAS Kelantan 1.0, Kerajaan Campuran PAS-BN, Konflik Kerajaan Campuran, PAS Kelantan Bangkit Semula.

Selain itu, Agenda Program Tarbiah, Tarbiah Tonggak Kebangkitan, Kerajaan PAS 2.0, Ulama Mentadbir Kelantan, Kelantan Menerajui Perubahan, Model Pentadbiran Islamik, Menerus Kecemerlangan, Pernah Dipinggirkan dan bab akhir - Melakar Sejarah.

Buku yang diterbit Badan Perhubungan PAS Kelantan terbabit lebih istimewa lagi apabila mengetengahkan ulama sebagai ketua kerajaan negeri yang bermula dengan Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Keupayaan ulama mentadbir kerajaan negeri mengenepikan dakwaan pihak tertentu sebelum ini yang memberi gambaran, Kelantan hanya bertahan di bawah PAS hanya tiga bulan sahaja.

Malah, musuh politik PAS sering kali memberi gambaran kegagalan parti itu mentadbir Kelantan melalui media masa.

Lebih memeranjatkan lagi RTM yang dibiayai daripada duit rakyat juga dijadikan alat bagi menghodohkan kerajaan PAS di Kelantan melalui siri dokumentari Kelantan Dalam Gerhana.

Biarpun pelbagai gambaran negetif dan dakwaan tidak berasas dilemparkan, namun kepimpinan ulama di Kelantan terus memacu negeri sehingga perubahan pentadbiran berasaskan Islam turut menjadi model kepada negeri-negeri lain dan kerajaan Pusat.

Antaranya cuti dua hari seminggu yang dilaksanakan pada awal 1990-an, pernah diperlekehkan pemimpin kerajaan Pusat apabila memberi gambaran rakyat Kelantan malas bekerja.

Namun, akhirnya cuti dua hari seminggu juga dilaksanakan kerajaan Pusat yang bermula dengan bekerja Sabtu minggu pertama dan ketiga. Namun, disebabkan kecelaruan berlaku membuatkan kerajaan Pusat meniru sepenuhnya cuti dua hari semingga seperti dilaksanakan di Kelantan.

Kelantan juga merupakan negeri pertama memperkenalkan cuti bersalin 40 hari bagi kakitangan awam negeri. Kemudian dinaikkan kepada 60 hari dan sekarang 90 hari.

Dan pada 2013 Kelantan memperkenalkan kemudahan cuti ihdad selama 30 hari bergaji penuh untuk penjawat awam wanita yang kematian suami.

Banyak lagi kejayaan dicapai di Kelantan termasuk memperkenalkan Skim Beras al Itaam yang diberi percuma sebanyak 10 kilogram setiap bulan kepada keluarga miskin bermula tahun 2011.

Pada 2009 Kelantan juga melaksanakan bantuan rumah dhuafat secara percuma untuk penduduk miskin bagi membantu mereka memiliki rumah sendiri.

Selain itu, Skim Khairat Kifaalah untuk warga emas berusia 55 tahun dan ke atas, di mana waris akan menerima pampasan RM1,000 apabila warga emas yang berdaftar meninggal dunia.

Kecemerlangan yang dirintis Tok Guru Nik Abdul Aziz diteruskan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan sekarang di bawah pimpinan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Buku Tok Lebai Kemudi Negeri dilancar ketika sambutan 70 Tahun PAS Kelantan pada 24 Oktober 2025 yang disempurnakan Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (edisi kemaskini) dengan harga RM30 boleh berkunjung ke Kedai Kita Semua Trading di bawah Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu.

Atau hubungi Ahmad Al Fabila (013 935 5515). Pertanyaan lanjut boleh emel: lanjusoh@gmail.com



 

Post a Comment

0 Comments