Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan tawaran menarik dengan memberi
fokus kepada keperluan serta aspirasi rakyat Johor bagi menghadapi Pilihan Raya
Negeri (PRN) 11 Julai ini.
Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, beberapa kejutan akan disenaraikan dalam manifesto yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, manifesto terbabit sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).
“Pelbagai tawaran menarik disenaraikan bagi menarik sokongan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka 11 Julai ini.
“Manifesto akan diumumkan tersebut dijangka ada beberapa kejutan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu di Dewan Jubli Perak di sini malam semalam.
Sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) menjadi rebutan pada PRN Johor kali ini, di mana 14 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Selain itu 27 kerusi melibatkan saingan tiga penjuru, 12 kerusi menyaksikan pertembungan empat penjuru dan tiga Dun menyaksikan pertandingan lima penjuru.
PAS mengemukakan 11 calon pada PRN Johor kali ini, manakala Bersatu meletakkan 16, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) - lima calon dan Parti Pejuang Tanah Air – seorang calon.
Kesemua calon bertanding menggunakan lambang PN. Calon PN yang mewakili PAS iaitu Saifullah Abdul Wahab di Dun Jementah, Normala Sudirman (Tenang), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah) dan Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan).
Selain itu, Mazlan Bujang (Kahang), Hasnul Hakimi Hussien (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja) dan Khirul Muntanazar Ismail di DUN Tiram.



0 Comments