Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Usaha untuk melahirkan sebuah pemerintahan yang baik memerlukan perancangan rapi, strategi jelas, pengurusan cekap dan disiplin organisasi kukuh.

Sebaliknya, apabila umat Islam bertelagah sesama sendiri, musuh tidak perlu bekerja terlalu keras kerana perpecahan melemahkan kekuatan umat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sejarah politik dunia juga membuktikan strategi 'pecah dan perintah' sering digunakan bagi melemahkan sesuatu bangsa atau kelompok.

"Islam sering dilihat lemah bukan kerana ajarannya lemah, tetapi kerana umatnya gagal mempertahankan kesatuan,” katanya di sini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, umat Islam tidak boleh hanya melihat agama dalam ruang ibadah semata-mata, sebaliknya perlu memahami urusan pemerintahan sebahagian daripada tuntutan agama.

Menurutnya umat Islam perlu memperkukuh perpaduan dan menyusun kekuatan secara lebih terancang bagi mempertahankan kedudukan Islam yang dilihat semakin berdepan pelbagai cabaran.