MPKB-BRI kenal pasti lokasi penempatan mangsa kebakaran


Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi menempatkan semula mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Dato’ Zulkifle Ab. Rahman berkata, cadangan itu akan dibincang dengan kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurutnya, penyediaan tapak baharu memerlukan persetujuan kerajaan negeri selain melibatkan peruntukan kewangan.

“Ia juga memerlukan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk pembangunan tapak baharu bagi menempatkan mangsa kebakaran terbabit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Gok Kapur semalam.  

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada 27 keluarga yang terjejas akibat kebakaran tersebut.

Hadir sama, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa terlibat.

Pada kejadian Isnin lepas 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor. Sekarang 110 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Mukim Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan.

Zulkifle juga berkata, MPKB-BRI turut berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi membina rumah baharu kepada mangsa terlibat.

Katanya, pihak berkaitan perlu menyemak terlebih dahulu status dan kelayakan setiap mangsa sebelum sebarang bantuan dapat disalurkan.

“Kita juga akan mengenal pasti sama ada mangsa kebakaran terdiri daripada golongan asnaf dan layak menerima bantuan menggunakan dana zakat,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments