Budak terima hati ibu beransur pulih

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pengorbanan seorang ibu demi melihat anaknya membesar seperti budak lain benar-benar menyentuh hati apabila beliau sanggup mendermakan sebahagian hatinya.

Anaknya Hawa Maisarah Mohd Abdul Muiz, 22 bulan disahkan menghidap biliary atresia, masalah saluran hempedu yang menyebabkan kerosakan hati.

Selain itu anak kecil terbabit turut mengalami masalah pankreas yang menyebabkan perutnya lebih besar daripada biasa.

Ibunya, Nur Rahmatina Hajida Norisyam, 25 berkata, doktor memaklumkan mengenai masalah hati yang dialami anaknya sejak berusia sebulan.

Namun ketika itu, rawatan lanjut belum dilakukan kerana usia masih terlalu kecil.

"Pada peringkat awal, kami menangguhkan rawatan kerana Hawa masih bayi tetapi keadaannya semakin kronik. Perutnya semakin membesar, kulit serta matanya kekuningan," katanya di sini.

Adik Hawa kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Oktober tahun lalu kerana di Kelantan tiada kepakaran dalam bidang gastroenterologi pediatrik.

Lebih kurang tiga bulan Hawa dirawat di PPUM sebelum dibenarkan ke China.

Menurut Nur Rahmatina, Hawa tidak boleh terus menjalani rawatan di China kerana beberapa syarat perlu dipenuhi termasuk berat badan mencukupi dan tahap kesihatannya stabil.

“Sebelum pembedahan pemindahan hati dilakukan, Hawa terpaksa menjalani pembedahan pankreas terlebih dahulu bagi membuang ketumbuhan yang terdapat pada organ tersebut.

Beliau juga berkata, keluarganya pada mulanya merancang untuk membuka tabung bagi mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi menampung kos rawatan di Shanghai, China melalui bantuan Nadi Permata Malaysia.

Namun, kata beliau keluarga kepada seorang kanak-kanak lain tidak sempat menjalani rawatan di China kerana meninggal dunia menyerahkan dana yang dikumpulkan kepada Hawa.

"Kami berada dalam wad yang sama. Ibu kepada kanak-kanak tersebut menyatakan hasrat untuk memberikan sumbangan itu kepada Hawa sebagai pengganti. Alhamdulillah," katanya.

Hawa bertolak ke Shanghai pada 27 Disember lepas dan menjalani pembedahan pada 7 Januari 2026 dengan ditemani seorang doktor pengiring dari Malaysia.

Katanya doktor hanya mengambil kira-kira 10 peratus daripada hatinya untuk dipindahkan kepada Hawa.

Beliau juga berkata, tahap kesihatan Hawa menunjukkan perkembangan positif, namun dos ubat terpaksa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Hawa juga perlu menjalani rawatan susulan di Kuala Lumpur setiap dua minggu sekali.

Nur Rahmatina dan suaminya Mohd Abdul Muiz Mohd Jasnim, 32 tetap tabah demi melihat anak mereka membesar seperti kanak-kanak lain.

Kisah keluarga terbabit turut mendapat perhatian Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin apabila melawatnya semalam, di samping menghulurkan sumbangan.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada para penderma, Nadi Permata Malaysia, kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa bersama kami, sama ada melalui sumbangan, bantuan, sokongan mahupun doa. Segala kebaikan yang diberi amat kami hargai," katanya.

 

 

Post a Comment

0 Comments