Oleh Aslani M |
KUALA LUMPUR: Pembangkang bimbang penglibatan pemimpin-pemimpin politik yang ada kaitan dengan parti menerajui kerajaan dalam Yayasan Madani, diberi tanggungjawab mengendalikan Madani Mart.
Ahli parlimen Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid berkata, pemegang Amanah Yayasan tersebut iaitu Setiausaha Agung PKR, Dato’ Dr Fuziah Salleh sebagai pengerusi.
Selain itu, pembantu kepada Perdana Menteri iaitu Kamil Abdul Munim dan Ahmad Farhan Fauzi.
Rosol berkata, beliau bimbang mengenai status dan pengoperasian inisiatif Madani Mart apabila diterajui pemimpin politik.
“Saya meminta penjelasan mengenai status terkini inisiatif tersebut termasuk jumlah cawangan yang beroperasi, bilangan permohonan diterima dan penglibatan usahawan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya beliau bimbang Madani Mart berulang seperti yang berlaku sebelum ini di mana berlaku kegagalan pengoperasian.
Menjawab soalan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dato’ Armizan Mohd Ali berkata, Madani Mart bukan program rasmi kerajaan.
Sebaliknya kata beliau, ia merupakan jenama perniagaan peruncitan swasta yang dikendalikan melalui lesen oleh Yayasan Madani.
Pada 3 April lepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Madani Mart cawangan Indera Mahkota 8, yang pertama di negara ini.
Madani Mart diterajui Yayasan Madani merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dengan slogan 'Kedai Runcit Harga Rahmah'.
Sebelum ini Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mempersoalkan sumber dana Yayasan Madani yang ditubuhkan pada 2024.
Katanya dalam tempoh yang singkat yayasan itu mampu menggerakkan projek berskala besar melibatkan ratusan outlet di seluruh negara.
“MCW menegaskan sebarang bentuk sumbangan termasuk daripada syarikat korporat besar wajib didedahkan secara terbuka bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan,” katanya pada kenyataan.
Oleh itu, MCW menggesa penubuhan audit bebas dan telus terhadap keseluruhan projek Madani Mart. Kedua, mendedah penuh struktur pembiayaan dan pihak berkepentingan.
Selain itu jaminan tiada konflik kepentingan dalam proses kelulusan dan pelaksanaan, kajian impak terhadap peniaga kecil dan pasaran tempatan, penilaian semula keutamaan dasar agar lebih fokus penyelesaian kos sara hidup bersasar.
“Rakyat Malaysia bukan lagi mudah dipengaruhi dengan naratif populis tanpa asas ekonomi yang kukuh. Integriti bukan sekadar slogan, ia mesti dizahirkan dalam setiap keputusan dasar dan pelaksanaan projek,” ujarnya.
Rosol turut mempersoalkan mengapa Madani Mart dilancar di Kuantan yang pernah menjadi kawasan parlimen diwakili Fuziah sebelum ini.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung pada kenyataan sebelum ini menggesa kerajaan menjelaskan mengenai sumber kewangan, proses pelantikan jawatan serta mekanisme operasi Yayasan Madani.
Katanya, Pemuda MCA menyifatkan pelaksanaan Madani Mart sekadar mengulangi konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini.
“Inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sekarang dilihat sekadar penjenamaan semula program termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Ketika BN melancarkan KR1M, pemimpin Pakatan Harapan menyifatkannya sebagai pembaziran dana awam, penyelesaian jangka pendek, serta menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kronisme,” ujarnya.
Isu sama juga dibangkit bekas Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Rafizi Ramli yang turut bimbang Madani Mart membabitkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang bertanggungjawab program Jualan Rahmah.
Kata beliau Jualan Rahmah melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun menjadi rebutan pembekal.
“Madani Mart diusahakan timbalan menteri KPDN yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” katanya.








0 Comments