Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Selepas lebih sedekad tidak melabur dalam sukan bola sepak, Tan Sri Annuar Musa
kini muncul semula dengan menyertai konsortium bekas pemain treble bagi
membangunkan akademi dan pasukan Kelantan City FC.
“Selepas berfikir panjang setelah 10 tahun tidak melabur dalam sukan bola sepak, saya membuat keputusan menyertai konsortium bekas pemain treble dalam usaha membangunkan akademi serta pasukan Kelantan City FC.
“Saya akan membeli saham pemilikan kelab itu selepas tawaran dibuka dan diberi terlebih dahulu kepada pihak lain sehingga 14 Julai ini.
“Langkah itu bagi memberi peluang seluas-luasnya kepada semua pihak yang mungkin berminat untuk membeli dan turut memiliki kelab ini,” katanya pada majlis pelancaran logo baru kelab itu semalam.
Pada tahun 2010 Kelantan pertama kali dalam sejarah berjaya menggondol Piala Malaysia apabila pasukan The Red Warriors di bawah teraju Annuar berjaya menewaskan pasukan Negeri Sembilan 2 – 1.
Kemenangan itu menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara perlawanan akhir pada tahun 1955. Dan dua tahun selepas itu sekali lagi Kelantan berjaya menjuarai Piala Malaysia.
Oleh itu Annuar mengajak anak-anak Kelantan, usahawan, tokoh-tokoh serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya bersama membantu memajukan semula sukan bola sepak Kelantan.
“Saya berharap lebih ramai rakyat Kelantan tampil menyokong usaha tersebut demi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri sebagaimana pernah dikecapi sebelum ini,” katanya.
Kata beliau usaha itu penting bagi memastikan sukan berkenaan terus berkembang dan mampu melahirkan legasi baharu yang membanggakan rakyat negeri ini.
Beliau turut berbangga bekas pemain era kegemilangan treble Kelantan kini berganding tenaga sebagai pengurus dan jurulatih Kelantan City FC bagi menurunkan kemahiran serta pengalaman kepada generasi pelapis.
Menurutnya juga beliau bersama pemegang saham lain akan membentuk model pengurusan syarikat dan pengurusan bola sepak yang profesional bagi melancarkan pelan pembangunan lima tahun Kelantan City FC.



0 Comments