Petugas pilihan raya PAS tunggu wisel PRU16

MACHANG: Petugas-petugas pilihan raya PAS Kelantan meluahkan tidak sabar lagi menunggu gendang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dipalu untuk memastikan parti itu melangkah lebih jauh.

Situasi itu dapat dibuktikan apabila program pelancaran gerak kerja PRU16 PAS Kelantan semalam dihadiri peserta di luar jangkaan.

Pada peringkat awal urus setia menganggarkan 1,500 hadir pada program terbabit, namun jumlah kehadiran lebih 2,000. Dewan utama Markas Dewan Ulamak (Madu) PAS Kelantan di Labok penuh sesak.

Malah ketika pendaftaran peserta terpaksa beratur panjang sebelum memasuki dewan utama di tingkat satu.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob yakin semua petugas sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Katanya, mereka kelihatan begitu bersemangat sehingga ramai yang datang awal untuk mengikuti majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya PAS Kelantan.

“Sebelum ini saya mengadakan program turun ke bawah bagi memastikan wakil rakyat kita terus berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

“Pada program itu beberapa cadangan dikemukakan untuk diambil tindakan segera termasuk memperkemaskan daftar pemilih dan kajian ketua isi rumah,” katanya pada program berkenaan semalam.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Turut hadir Setiausaha PAS negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof, Ketua Dewan Ulamak, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ketua Dewan Muslimat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff; Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS, Lim Guan Seng dan Ketua Dewan Assabiqun, Wan Yusof Wan Mustapha.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, petugas pilihan raya PAS hendaklah mengguna peluang kesukaran rakyat terhadap kos sara hidup dengan mengajak mereka menolak kerajaan Madani.

Menurutnya juga kerajaan negeri dapat melaksanakan lebih banyak program untuk manfaat rakyat sekiranya dapat menguasai kerajaan Persekutuan. 

“Biarpun pelbagai program kebajikan dilaksanakan di Kelantan sejak berpuluh tahun lalu, namun ia masih lagi terbatas kerana masalah kewangan.

 “Oleh itu apabila kita boleh menguasai Putrajaya saya yakin lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Sempena program berkenaan diadakan majlis penyerahan panji kepada wakil-wakil PAS kawasan dan dewan-dewan.

Selain itu lafar ikrar diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Abdul Fatah Jaafar. Kutipan derma kilat pula berjaya dikumpul lebih RM12,000.

Ustaz Mohd Nassuruddin yang juga Menteri Besar berkata, petugas pilihan raya hendaklah merebut peluang menarik penyokong Umno yang menolak kerjasama parti itu dengan DAP.

Dr Wan Nik ketika mendedah data pilihan raya menyebut parlimen Tumpat mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Kelantan iaitu 154,118 orang.

Setiausaha PAS Kelantan pula mahu setiap PAS kawasan mengaktifkan ‘war room’ kerana ia merupakan nadi gerak kerja pilihan raya.

“Setiap Pusat Khidmat Dun hendaklah mempunyai masa operasi yang jelas bagi memudahkan rakyat datang berurusan. Begitu juga program kebajikan perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim,” katanya.


 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments