KOTA BHARU: Pengulas sukan di RTM, Azlan Johar dikatakan direhat sebagai pengulas pertandingan Piala Dunia 2026 kemungkinan ada kaitan beliau diisytihar menyertai PAS di Seremban pada 13 Jun lalu.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS menyifatkan penafian hak melibatkan figura yang pernah menjadi pengulas dan penganalisis sukan merugikan negara dan mengecewakan rakyat khususnya peminat-peminat sukan tanah air.
Sedangkan katanya, Azlan terbabit sebagai pengulas sukan lebih 10 perlawanan Piala Dunia sepanjang karier penyiarannya.
“Azlan Johar bukan hanya merupakan bekas penyerang prolifik pasukan negeri dan kebangsaan sekitar 1980-an, malah beliau juga memegang lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi dan kini Pengerusi Yayasan Lagenda.
“PAS melahirkan rasa dukacita apabila mendengar perkhabaran itu, jika benar, apakah ia ada kaitan dengan penyertaan Azlan Johar bersama PAS,” katanya pada kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lepas 15 tokoh menyertai PAS pada majlis ceramah sempena kempen pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Individu terbabit iaitu bekas Menteri Undang-Undang, Dato’ Zaid Ibrahim; Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Rahimi Osman; bekas Exco Negeri Sembilan, Dato’ Dr Mohamad Rafie; bekas pemimpin Amanah Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob dan bekas Ketua Bersatu Lembah Pantai, Dato’ Muqarrabin Mokhtarrudin.
Selain itu, Dr Md Nizam Baharom; Dato’ TPr Lokman Omar; Azlan Johar; Saiful Azli Saiful Rizwan; Dato’ Ahmad Tarmizi Musa; Mustapha Shah dan bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Dato’ Hamidah Osman.
Oleh itu Takiyuddin berharap pihak berkaitan termasuk kerajaan dan agensi-agensinya menghormati dan tidak merampas hak asasi seseorang warganegara, termasuk hak untuk berpersatuan dan berpolitik seperti dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.
“PAS sebagai sebuah parti politik yang progresif dan demokratik menggesa kerajaan memastikan perkara seperti itu tidak berlaku dan berterusan,” ujarnya.


0 Comments