Formula politik rakyat Johor, ‘No DAP, No Problem'

 

Oleh Salmah Mat Husain |

JOHOR BAHRU: Rakyat Johor perlu memastikan gelombang penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang berlaku di Sabah berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

Pengarah PRN PAS Negeri Johor, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses pilihan raya kali ini amat penting kerana rakyat menyaksikan sendiri kegagalan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dalam pelbagai aspek termasuk perpaduan rakyat, kos sara hidup, pengurusan negara, hubungan antara kaum dan antarabangsa.

Menurutnya, meskipun kerajaan menggunakan nama Kerajaan Perpaduan, hakikatnya rakyat melihat sendiri pertelingkahan yang berlaku antara parti-parti komponennya sehingga menggambarkan kegagalan konsep perpaduan yang dilaungkan.

“Semua rakyat sekata dan sependapat kerana kita sedang melihat dan merasakan kegagalan pemerintahan mereka. Rakyat  menyaksikan dan merasai sendiri,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Grand Finale Perikatan  Nasional di sini malam tadi.

Katanya, juga rakyat Sabah lebih awal menunjukkan penolakan terhadap kerajaan Madani apabila tidak memberi kemenangan kepada PH walaupun pelbagai janji dan peruntukan diumumkan sepanjang kempen pilihan raya di negeri itu tahun lepas.

Menurutnya bermula di Sabah, kegagalan itu ditunjukkan jalan rakyat secara tuntas walaupun Perdana Menteri datang berkempen dengan menjanji peruntukan dan pelbagai bantuan.

“Sehebat-hebat kerajaan, lebih hebat lagi rakyat Sabah. Saya yakin rakyat Johor mampu mengulangi kebangkitan tersebut pada PRN kali ini," katanya.

Annuar juga berkata, keberanian politik rakyat Johor yang membawa pendekatan ‘No DAP, No Problem’ membuktikan kepentingan masyarakat Cina tetap boleh dipelihara tanpa bergantung kepada DAP.

Menurutnya, pengalaman di negeri-negeri yang ditadbir PAS membuktikan masyarakat bukan Islam terus hidup dalam keadaan aman serta hak mereka sentiasa dipelihara.

“PAS sudah lama bertapak di Johor dan tidak ada masalah bagi orang Cina. PAS mentadbir di Kelantan, Kedah dan Terengganu juga tidak ada masalah kepada masyarakat Cina.

“Apabila pentadbiran dipimpin oleh mereka yang berpegang kepada ajaran Islam, maka kehidupan orang Islam dan bukan Islam akan  terjamin kerana mereka takut kepada rasuah, pecah amanah dan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Beliau juga menyifatkan calon-calon PAS yang diketengahkan pada PRN Johor mempunyai latar belakang yang baik, dekat dengan rakyat serta dididik berteraskan nilai-nilai Islam.

Katanya, ada dalam kalangan calon PAS merupakan pendakwah yang sentiasa mendampingi masyarakat, mengimarahkan masjid dan surau serta memahami denyut nadi rakyat.

“Sebab itu calon-calon Perikatan Nasional, khususnya daripada PAS, adalah calon yang wajar diberikan sokongan kerana mereka mempunyai latar belakang yang baik, didukung oleh parti yang baik,” katanya.

Beliau juga berkata, kemenangan di Johor akan menjadi permulaan kepada langkah lebih besar menuju Putrajaya dengan membawa formula politik yang menolak kerjasama bersama DAP.

“Kita memulakan langkah baharu menuju Putrajaya dengan membawa formula Johor, ‘No DAP, No Problem’. Kita menghargai keberanian politik Johor dan berharap formula ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Post a Comment

0 Comments