Oleh Salmah Mat Husain|
JOHOR BAHRU: Pilihan raya negeri (PRN) Johor dianggap menjadi titik permulaan bagi mencetus gelombang perubahan rakyat dan ia perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain menjelang pilihan raya umum (PRU16).
Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, perubahan yang bermula di Johor diyakini akan berkembang ke Negeri Sembilan, Melaka dan akhirnya membawa perubahan besar kepada negara.
Katanya sudah sampai masanya rakyat Malaysia menukar kerajaan baru di peringkat Persekutuan pada PRU16 dengan memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN).
"PN mempunyai barisan kepimpinan berwibawa bagi menggantikan kerajaan hari ini yang bukan sahaja gagal mentadbir, malah banyak tindak tanduk pemimpin membahayakan kepentingan negara.
"Keadaan dunia yang semakin tidak menentu memerlukan seorang pemimpin yang tegas, berprinsip dan mampu mempertahankan kedaulatan serta kepentingan Malaysia ketika berdepan tekanan kuasa-kuasa besar," katanya pada ceramah Grand Finale PRN Johor di Laman Muafakat Simpang Jeram, di sini malam tadi.
Menurut beliau, konflik yang berlaku di Asia Barat serta ketegangan melibatkan laluan perdagangan antarabangsa menunjukkan betapa penting negara memiliki kepimpinan yang mempunyai jati diri dan tidak mudah tunduk kepada tekanan luar.“Kita tahu dunia sekarang sedang bergolak. Perang berlaku di Asia Barat dan ada kuasa besar yang rakus menyalahgunakan kekuatan ketenteraan sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa.
“Kalau Selat Hormuz disekat kesannya dirasai di seluruh dunia dan selepas ini tidak mustahil Selat Melaka pula menjadi tumpuan. Sebab itu Malaysia mesti dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa serta mampu mempertahankan kepentingan negara,” ujarnya.
Mukhriz turut mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat mengikut kehendak Presiden Amarika Syarikat, Donald Trump secara halus ketika lawatan pemimpin Amerika Syarikat itu ke Malaysia tahun lepas.
Menurutnya perjanjian perdagangan timbal balas yang ditandatangani Perdana Menteri dengan Trump menimbulkan persoalan besar kerana pelbagai pihak menganggap sebagai berat sebelah, di mana ia merugikan Malaysia dan menguntungkan Amerika Syarikat.Sehubungan itu, beliau menyarankan rakyat Johor memilih kerajaan yang benar-benar ikhlas mempertahankan negara serta tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana kuasa asing.
Dalam perkembangan lain Mukhriz merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PN kerana sebulat suara menerima penyertaan Pejuang sebagai parti komponen baharu gabungan PN
Beliau berkata, keputusan tersebut membuka lembaran baharu kepada kerjasama politik pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya bagi pihak Pejuang mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya.
Malah, kata beliau permohonan Pejuang untuk meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (Dun) Gambir juga diterima kepimpinan PN.Katanya, calon Pejuang, Suraya Selamat, mewakili PN bertanding di kerusi Dun N09 Gambir perlu dukungan seluruh jentera serta penyokong gabungan itu bagi memastikan kemenangan semua calon PN pada PRN Johor.




0 Comments