Tindakan tegas langgar Enakmen Hiburan

 

Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Pihak berkuasa tempatan memandang serius sebarang penganjuran aktiviti hiburan yang didapati tidak mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025.

Katanya, penganjuran sebarang aktiviti hiburan wajib mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, termasuk mendapatkan lesen sebelum sesuatu program dilaksanakan.

"Mana-mana penganjur atau pemilik premis perlu mendapatkan lesen dan kebenaran terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang bentuk program hiburan.

“Jangan mengambil mudah perkara ini kerana tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya pada kenyataan semalam.

Hilmi juga berkata, pemilik sebuah premis yang menganjurkan program hiburan berbentuk disko tanpa lesen dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 selepas didapati melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri itu.

Kata beliau sekiranya kompaun gagal dijelaskan, tindakan pendakwaan boleh diambil di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Menurutnya kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025 yang memperuntukkan kawalan terhadap penganjuran aktiviti hiburan tanpa lesen.

Beliau juga berkata, sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap syarat lesen perniagaan, PBT juga boleh mempertimbangkan tindakan lanjut termasuk menarik balik lesen premis mengikut peruntukan undang-undang kecil yang berkuat kuasa.

"Kerajaan negeri komited memastikan setiap aktiviti hiburan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang demi memelihara ketenteraman awam serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments