Oleh Aslani M |
KUALA LUMPUR: Sebelum ini dua Ahli Parlimen PKR yang didapati rapat dengan Dato’ Seri Rafizi Ramli mendakwa tidak dapat akses portal MyKhas untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendedah di laman sosialnya, beliau menjadi wakil rakyat PKR kedua kehilangan MyKhas dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Katanya, ICU tidak akan memberi sebarang maklum balas mengenai masalah tersebut.
Sebelum itu pada 22 Mei lalu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen mendakwa akses pejabatnya ke portal tersebut juga disekat tanpa sebarang notis.
Dan di Dewan Rakyat semalam Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim membangkit soalan berkaitan 17 Adun Pakatan Harapan (PH) menerima peruntukan sebanyak RM180,000 daripada Pejabat Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan.
Manakala katanya, 19 Adun yang lain tidak menerima peruntukan tersebut.
“Nampaknya soalan saya berhubung kelulusan bagi setiap Dun di Negeri Sembilan masih belum dijawab.
“Saya berharap Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Malaysia dapat memberi jawapan bertulis dengan segera bagi menjelaskan perkara ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sebelum ini diviral surat yang bertarikh 4 Jun 2026 mengenai sumbangan kewangan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Adun untuk kesejahteraan rakyat bagi tempoh Julai-September 2026.
Surat itu menjelaskan peruntukan terbabit bagi menjalankan program atau aktiviti kesejahteraan rakyat selain memberi bantuan atau sumbangan kepada individu, persatuan atau NGO yang memerlukan di kawasan Dun.
Dr Shahidan juga membangkit kelulusan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi membaik pulih Flet Tun Aminah Skudai yang diumum Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 27 Jun lalu ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kor Ming ketika mendedah perkara itu di laman media sosial mencatat “KPKT lulus RM2.5 juta bagi baikpulih Flat Tun Aminah, Skudai meliputi aspek penggantian bumbung dan kerja-kerja berkaitan,”.
Ketika menjawab isu tersebut Perdana Menteri berkata, mengumum projek yang telah dilulus tidak menjadi masalah kecuali projek baharu yang belum ada kelulusan dalam belanjawan yang dibentang tahun lalu.
“Saya semak dia (menteri) mengumumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut dari segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan. Tidak boleh projek baru.
“Saya semak dari segi undang-undang dan Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi kalau tidak ada dalam peruntukan sama ada dalam belanjawan atau dalam kerangka kementerian itu memang kesalahan,” ujarnya.






0 Comments