Kerjasama BN-PN diterima penyokong akar umbi

 
SEREMBAN: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diterima secara meluas penyokong kedua-dua pihak di peringkat akar umbi.

Situasi itu dapat dilihat di kawasan majoriti pengundi Melayu yang mahu penyatuan ummah seperti tahun 2018 dipertautkan semula.

Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan pengundi di semua peringkat terhadap kerjasama berkenaan begitu baik sepanjang tempoh kempen sekarang.

"Umno-BN parti terbesar dalam kerjasama tersebut apabila bertanding 25 kerusi, manakala PAS hanya bertanding lima kerusi dan baki enam kerusi ditandingi parti-parti lain dalam PN termasuk komponen bukan Melayu.

"Jadi tak perlu berasa gusar. Sebab itulah ada pihak mencetus propaganda dengan mendakwa persefahaman antara BN dan PN untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu," katanya pada program kempen di sini.

Mohamad yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau mengakui persefahaman antara BN-PN memberi sedikit kelebihan untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Menurutnya kerjasama tersebut lebih mudah untuk dijelaskan kepada rakyat berbanding persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, rata-rata pengundi Melayu tidak mahu ada pertembungan sesama parti-parti Melayu seperti yang berlaku pada pilihan raya lalu.

Malah, keadaan itu dapat mengelakkan perpecahan undi sehingga menguntungkan pihak ketiga.

"Pengundi-pengundi Melayu tidak mahu ada pertembungan parti-parti Melayu kerana ia lebih menguntungkan pihak lawan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, BN mengalu-alukan sebarang cadangan yang dapat menambah baik manifesto PN bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Kata beliau PN boleh melengkapkan apa-apa yang tertinggal dalam manifesto BN atau perlu ditambah nilai untuk memberi kebaikan kepada rakyat Negeri Sembilan.


 

 

Post a Comment

0 Comments