Dana RM337,006 dikumpul bantu mangsa kebakaran di Gok Kapur

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Sebanyak RM337,006.25 berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu 27 mangsa  yang terjejas dalam kejadian kebakaran di Kampung Gok Kapur di Dun Kijang baru-baru ini. 

Dari jumlah itu seramai 25 mangsa memperolehi RM12,840.29 tiap seorang, manakala dua keluarga lagi masing-masing menerima RM8,000 setiap keluarga kerana kediaman mereka hanya berlaku kebakaran kecil. 

Adun Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sumbangan itu diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan negeri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang tampil menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, sumbangan datang daripada pelbagai pihak. Ada daripada agensi, syarikat swasta, NGO dan juga individu. Ada penyumbang yang kita kenal dan ada juga yang memilih untuk tidak dikenali.

“Kita bersyukur kerana rakyat begitu prihatin. Walaupun ada yang tingggal jauh, mereka tetap menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan semalam. 

Pada kejadian 8 Jun lepas 27 rumah kediaman jenis separuh kekal hangus  menyebabkan lebih 110 orang daripada 25 keluarga hilang tempat tinggal.

Dr Izani berkata,  sebelum ini kesemua 27 keluarga mangsa kebakaran menerima bantuan di awal kejadian termasuk dua keluarga yang mengalami kebakaran ringan. 

Menurut beliau, mangsa yang kehilangan kediaman turut dibantu melalui penyediaan rumah sewa sementara.

“Alhamdulillah, pihak Pusat Khidmat Dun  membantu menanggung kos sewa rumah selama tiga bulan, sebanyak RM500 setiap bulan, manakala masjid turut membantu menampung dua bulan lagi kos sewaan,” katanya.

Beliau juga berkata, kebanyakan mangsa kini kembali bekerja seperti biasa dan bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu mereka menggantikan barangan keperluan yang musnah dalam kebakaran.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya mangsa bencana, bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela. 

“Bagaimanapun kita boleh bantu pemohon untuk memudahkan cara pembelian rumah di Kampung Badang sekiranya berminat. Ada yang berharga RM130,000, tetapi harga RM45,000 atau RM80,000 sudah habis dijual,” ujarnya. 

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut beliau berkata, sebanyak 57 rumah penduduk di Dun berkenaan mengalami kebakaran sepanjang beliau berkhidmat sebagai Adun Kijang selama dua penggal.


Post a Comment

0 Comments