Oleh: Salmah Mat Husain
JOHOR BAHRU: Tindakan DAP-Pakatan Harapan (PH) terus memainkan naratif 'gelombang hijau' memperlihatkan kegelisahan mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, DAP dan PH disifatkan semakin gentar menjelang hari pengundian sehingga terpaksa mengitar semula naratif lama.
Katanya gelombang hijau dicetus semula semata-mata bagi menakutkan pengundi khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
"Pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya pernah digunakan secara agresif pada pilihan raya lepas dengan melabelkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) sebagai ancaman kepada kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan kebebasan beragama.
"Kempen yang hanya bergantung kepada sentimen takut menggambarkan bahawa parti berkenaan kurang yakin dengan kekuatan tawaran dasar, rekod prestasi dan keupayaan meyakinkan rakyat melalui hujah yang rasional.
"Sedangkan rakyat Johor kini lebih matang dalam menilai propaganda politik berikutan perkembangan maklumat yang lebih pantas serta pengalaman politik beberapa tahun kebelakangan ini," katanya pada kenyataan.
Beliau juga berkata, PAS tidak pernah mendakwa parti itu mewakili Islam secara mutlak, sebaliknya menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan politik.Menurut beliau, DAP dan PH sepatutnya berhujah berdasarkan dasar, tadbir urus, ekonomi atau pendekatan pentadbiran yang teratur sekiranya mahu rakyat menolak PAS dan bukannya membina persepsi yang tidak wujud.
Beliau berkata, penggunaan istilah gelombang hijau hanya semata-mata mahu membawa ketakutan kepada masyarakat bukan Islam dan menimbulkan keresahan antara kaum dan agama.
Ustaz Tuan Ibrahim juga berkata, DAP lebih selesa menggunakan sentimen kaum biarpun pada masa sama mereka sering mendakwa menolak politik 3R.
"Kemunculan semula tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang, dalam kempen PH di Johor serta penglibatan Hew Kuan Yau atau 'Superman Hew' turut mencerminkan usaha menghidupkan semula sentimen lama bagi meraih sokongan pengundi.
"Pengundi Johor juga melihat sendiri janji-janji PH tidak semuanya diterjemahkan kepada perubahan yang dirasai rakyat."Mereka juga menyaksikan DAP yang sebelum ini lantang menentang Umno kini boleh berada dalam kerajaan yang sama di peringkat pusat," katanya.
Katanya juga PAS hanya bertanding di 11 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, menggambarkan parti itu tidak bersendirian dan mengadakan kerjasama dengan parti lain.



0 Comments