Adun jamu rakyat lebih 2 tan durian

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Lebih dua tan durian yang disediakan Pusat Khidmat Dun Kijang habis dalam tempoh kira-kira tiga jam pada Program Jamuan Makan Pulut Durian.  

Program yang dijadual bermula jam 3 petang terpaksa diawalkan kepada jam 2  petang berikutan kehadiran orang ramai lebih awal.

Adun Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program tersebut termasuk masyarakat Cina bagi menikmati keenakan durian.

Katanya, sambutan amat menggalakkan sehingga semua durian yang disediakan habis dalam tempoh singkat pada program yang diadakan di Dataran Kijang semalam.

“Program tersebut mendapat kerjasama semua pihak terutama 16 penghulu termasuk tiga penghulu tanpa mukim, muslimat serta  pemuda,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Menurut beliau, selain durian yang dibeli Pusat Khidmat Dun Kijang, sebahagian lagi disumbang  orang ramai. Manakala santan disumbangkan seorang penghulu yang memiliki kebun kelapa.

“Lebih membanggakan, masyarakat Cina juga hadir untuk menikmati raja buah yang kini bukan sahaja melimpah di Kelantan, malah seluruh negara,” katanya.

Dr Izani juga berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat melalui program bersama rakyat yang diadakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Kita amat menghargai kerjasama semua penghulu, muslimat, pemuda dan seluruh jentera yang berganding bahu menjayakan program ini,” katanya.


Post a Comment

0 Comments