400 tukun dilabuh di perairan Kelantan sejak 2007

 

KOTA BHARU: Jabatan Perikanan Malaysia melabuhkan sebanyak 400 tukun pelbagai jenis di perairan Kelantan sejak 2007 hingga tahun ini.

Jumlah itu termasuk sebanyak 72 tukun tiruan akan ditempatkan di perairan Kelantan sepanjang tahun ini yang membabitkan peruntukan RM1.7 juta sebagai usaha memperkukuh habitat marin dan sumber perikanan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, keseluruhan usaha berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM8.46 juta.

Katanya penempatan tukun tiruan penting bagi menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan laut bagi menyumbang  peningkatan hasil perikanan serta membantu sumber makanan berasaskan laut kekal mampan.

Katanya, pengurniaan 30 tukun tiruan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk ditempatkan di perairan Pasir Puteh merupakan inisiatif yang amat bermakna dalam memperkayakan ekosistem marin negeri.

“Pengurniaan itu dapat membantu memperkayakan habitat serta meningkatkan sumber perikanan di perairan Kelantan.

“Pada masa sama, ia turut menyumbang kepada usaha menjamin kelestarian sumber perikanan dan sekuriti makanan negara,” katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kurniaan Sultan Kelantan di perairan Kelantan di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini semalam.

Menurut beliau, penempatan tukun tiruan akan diteruskan secara berperingkat mengikut keperluan bagi menyokong kelangsungan sumber perikanan.

Katanya, usaha tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem marin, malah mampu membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.

“Usaha ini diharap terus memberi manfaat kepada komuniti nelayan dan rakyat Kelantan, selain memastikan sumber perikanan negeri dapat diurus secara mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, tukun tiruan turut berfungsi sebagai salah satu mekanisme bagi menghalang pencerobohan bot nelayan bersaiz besar di kawasan perairan berhampiran pantai.

Menurut beliau, struktur tukun yang dilabuhkan di dasar laut boleh menyebabkan peralatan menangkap ikan tersangkut, sekali gus membantu melindungi kawasan berkenaan daripada aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan berskala besar.

“Apabila ikan datang bertelur dan membesar, ia akan memberi manfaat kepada nelayan kita dan akhirnya kembali kepada masyarakat, khususnya bagi meningkatkan pendaratan ikan serta menyokong keterjaminan makanan,” katanya.

Ismail berkata, sebanyak 30 tukun tiruan kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dilabuhkan kira-kira 4.6 batu nautika dari perairan Tok Bali.

Katanya, penempatan tukun berkenaan bertujuan mewujudkan kawasan konservasi selain menyediakan habitat pembiakan dan pembesaran pelbagai spesies ikan.

“Ini akan menjadi pusat konservasi dan pembiakan ikan. Kita akan memperbanyak lagi tukun tiruan di perairan Kelantan,” katanya.

Menurut beliau, tukun berkenaan merupakan yang pertama menggunakan peruntukan kurniaan Sultan Kelantan bagi tujuan konservasi perikanan di negeri itu.

Katanya, tukun yang ditempatkan pada jarak kurang lima batu nautika dari pantai turut berfungsi sebagai kawasan konservasi.

Menurut beliau, kesan pembiakan ikan di kawasan tukun dijangka mula dapat dilihat dalam tempoh kira-kira enam bulan, bergantung kepada keadaan serta proses perkembangan ekosistem di kawasan berkenaan.

Katanya, Jabatan Perikanan turut menjalankan pemantauan dan kerja-kerja pembersihan tukun secara berkala termasuk mengeluarkan tali serta sisa peralatan menangkap ikan yang tersangkut pada struktur tukun.

 

Post a Comment

0 Comments