Pertahan tulisan Jawi warisan Melayu-Islam

KOTA BHARU: Tulisan Jawi perlu terus dimartabatkan sebagai cerminan warisan Melayu-Islam yang mempunyai nilai sejarah, ilmu dan peradaban, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau berkata, tulisan Jawi mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan Islam dan tamadun Melayu di Nusantara yang bermula sejak awal kedatangan Islam.

Katanya tulisan Jawi hasil adaptasi huruf-huruf Arab dengan beberapa perubahan bagi menyesuaikannya dengan bahasa masyarakat setempat.

“Pada peringkat awal perkembangannya, huruf Arab mula dibawa masuk ke Tanah Melayu seiring dengan penyebaran Islam ke kepulauan Melayu,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penulisan Jawi 2026 di sebuah hotel semalam.

Bengkel tersebut dianjur Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Wan Roslan berkata, tulisan Jawi  berkembang pesat bersama kerajaan Melayu-Islam dan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat ketika itu.

Menurutnya, tulisan Jawi turut menjadi medium utama penyebaran ilmu agama dan peradaban Melayu sehingga menjadikannya penting dalam sejarah masyarakat Islam di rantau nusantara.

“Kelantan juga mempunyai sejarah tersendiri dalam penggunaan tulisan Jawi, termasuk dalam urusan pentadbiran dan pendidikan. Usaha memelihara tulisan Jawi perlu diteruskan bagi memastikan warisan tersebut tidak semakin terpinggir dalam perkembangan masyarakat masa kini," ujarnya.

Wan Roslan turut memberi perhatian terhadap penggunaan tulisan Jawi dalam komunikasi dan pengiklanan yang menurutnya masih berdepan isu kesalahan ejaan serta kaedah penulisan.

Kata beliau banyak berlaku kesalahan dalam pengiklanan yang menggunakan tulisan Jawi dan ia perlu diperbetulkan. 

Beliau juga berkata, penguasaan tulisan Jawi bukan sahaja penting dari aspek kemahiran membaca dan menulis, bahkan mempunyai kaitan rapat dengan usaha mempertahankan warisan Melayu-Islam.

Katanya, usaha memperkasa tulisan Jawi memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat.



 

Post a Comment

0 Comments