KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan melahirkan perasaan dukacita memandangkan terdapat segelintir orang Islam menyokong normalisasi perjudian, malah memperlekehkan usaha kerajaan Kedah mengekang aktiviti berkenaan.
Ketuanya Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, aktiviti perjudian bukan hak asasi yang perlu dipertahankan, sebaliknya merupakan antara punca yang boleh membawa kepada kerosakan sosial.
Katanya, tindakan menutup premis perjudian yang turut melibatkan bukan Islam perlu dilihat dari sudut kemudaratan disebabkan aktiviti tersebut kepada masyarakat.
“Allah SWT telah memberi peringatan mengenai kesan buruk arak dan judi sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat 91 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya syaitan menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi...”
“Nas yang menyebut tentang arak dan judi merujuk kepada kesan mudarat. Semuanya itu diharamkan dan dikawal kerana kemudaratannya terbukti kepada manusia dan masyarakat,” katanya di sini.
Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian di negeri itu.
Mohd Firdaus juga berkata, pelbagai kajian antarabangsa menunjukkan perjudian boleh menyebabkan hutang kronik, keruntuhan rumah tangga, kehilangan pekerjaan, kesihatan mental, jenayah kewangan, penipuan, kecurian dan meningkatkan risiko bunuh diri.
Katanya, kajian di United Kingdom mendapati hutang akibat perjudian sering menjadi pencetus kepada masalah keluarga, kehilangan tempat tinggal serta penglibatan dalam jenayah.
“Realitinya di Malaysia, kita juga melihat ramai penggemar judi terjebak dengan hutang Ah Long sehingga terpaksa menjual harta benda dan pelbagai masalah sosial,” katanya.
Menurutnya juga sekiranya isu perjudian hanya dilihat dari sudut politik, tindakan menutup premis perjudian mungkin bukan langkah menguntungkan kerajaan negeri.
“Ini kerana yang diperjuangkan bukan soal undi semata-mata tetapi soal menyelamatkan masyarakat daripada satu aktiviti yang terbukti membawa kerosakan,” katanya.
Menurut beliau tindakan menutup premis perjudian bukan sekadar berkaitan hukum individu Muslim berjudi atau sebaliknya, tetapi merupakan usaha mencegah kemudaratan awam.



0 Comments