KOTA BHARU: Orang ramai dijemput hadir pada majlis Jamuan Amal anjuran PAS Kelantan pada Sabtu ini bertempat di Dewan Kelantan Trade Centre (KTC).
Program terbabit dimeriahkan dengan kehadiran Penjelajah Grand Salam Malaysia, Dato’ Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Adun Paroi, Negeri Sembilan Haji Kamarol Ridzuan.
Muqharabbin merupakan bekas Exco Pemuda Umno Malaysia dan mantan pemimpin Bersatu menyertai PAS baru-baru ini.
Beliau terkenal dengan pelbagai aktiviti ekstrem termasuk berbasikal mengelilingi dunia dan mendaki Gunung Everest.
Beliau pernah menamatkan siri pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia antara 2010 hingga 2014 serta berski 'last degree' di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 hingga 2018
Muqharabbin antara lebih 20 pendaki dari Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke Everest sejak tahun 1997.
Manakala Kamarol mendapat majoriti tertinggi iaitu 16,959 undi pada Pilihan Raya Negeri, Negeri Sembilan 1 Ogos lepas.
Beliau mendapat 32,004 undi meninggalkan jauh undi diperolehi Ustaz Shahir mewakili Pakatan Harapan dan Haji Nazree Yunus (Bersatu).
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menjemput orang ramai hadir pada program tersebut untuk menjamu selera sambil menderma.
“Sukacita semua dijemput hadir sambil menikmati hidangan, eratkan silaturahim, kita rebut peluang untuk berkongsi rezeki bagi kelangsungan perjuangan,” katanya di sini.
Jamuan Amal tersebut dijangka turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Sempena program terbabit akan diadakan gimik penyerahan sumbangan oleh pelbagai pihak dan orang ramai.




0 Comments