ALOR SETAR:
Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan lesen baharu
perjudian di Kedah dianggap mengelirukan orang ramai.
Sedangkan apa yang dibangkitkan kerajaan negeri mengenai lesen baharu sedia ada yang diperbaharui setiap tahun.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, MOF seharusnya bertanggungjawab terhadap kenyataan yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, tidak wajar sebuah kementerian mengeluarkan kenyataan yang hanya mengeruhkan keadaan dan cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
“Tindakan mempertahankan pemberian lesen perjudian bagi tahun 2023 sebagai punca utama pertikaian terhadap dasar sifar judi yang dilaksanakan Kerajaan Kedah.
“Kenyataan MOF merujuk kepada lesen baharu, sedangkan isu yang dibangkit berkaitan lesen pertaruhan kumpulan yang diperbaharui setiap tahun.
“Sedangkan Kerajaan Kedah mengumumkan usaha untuk mensifarkan premis judi di negeri tersebut sejak 14 November 2021,” katanya pada kenyataan semalam.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah pada 8 Disember 2021 menetapkan tidak meneruskan pemberian lesen premis perjudian bermula 1 Januari 2023.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perniagaan perjudian di negeri itu.
Pada kenyataan baru-baru ini MOF menjelaskan sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022, tidak pernah wujud sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Afnan Hamimi berkata, kenyataan MOF dianggap mencetuskan salah faham terhadap Kerajaan Kedah.
Menurutnya sebelum ini Kerajaan Kedah menghantar wakil untuk berunding dengan MOF supaya lesen di bawah Akta Pertaruhan Kumpulan 1967 (PBA 1967) tidak diteruskan bagi tahun 2023 di Kedah.
Bagaimanapun kata beliau, fakta mahkamah menunjukkan MOF masih meneruskan pemberian lesen bagi tahun 2023.
“Bahkan, asasnya pemberian lesen oleh MOF itulah yang menjadi punca kepada pertikaian mahkamah oleh pihak syarikat loteri dan judi.
“Tidak perlulah mengalihkan perhatian terhadap PAS semula kerana usaha membanteras judi wajar disokong tanpa rasa prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Beliau juga berkata, pendirian Kerajaan Kedah untuk melaksanakan dasar sifar judi sewajarnya mendapat sokongan kerana langkah berkenaan penting bagi memastikan kesejahteraan sosial masyarakat terus terpelihara.
Malangnya kata beliau ada pihak yang kelihatan tidak senang dengan pendirian Kerajaan Kedah.
“Sesungguhnya dasar sifar judi wajar dipertahan bagi memastikan sosial masyarakat terus terpelihara, insya-Allah,” katanya.




0 Comments