Oleh Tuan Arjuna Beta | Foto Unit Latihan dan Komunikasi Korporat PKINK |
TUMPAT: Kira-kira
1,500 peserta memeriahkan ‘Family Fun Walk’ sempena Jelajah KALA 2026 yang
berlangsung dalam suasana ceria dan semangat kekeluargaan, di sini semalam.
Acara berjalan kaki sejauh empat kilometer itu menjadi wadah menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan dan Pelaburan Kumpulan PKINK, Ahmad Hilmi Mohd Nawawi berkata, penganjuran ‘Family Fun Walk’ sebagai platform komuniti bagi menyatukan masyarakat menerusi aktiviti kesihatan dan sosial.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam acara berkenaan membuktikan aktiviti riadah menjadi medium memperkukuh hubungan kekeluargaan, selain mewujudkan interaksi yang lebih erat dalam kalangan komuniti.
“Jelajah KALA 2026 bukan hanya untuk membawa aktiviti ekonomi dan hiburan kepada masyarakat, tetapi turut menyediakan ruang untuk komuniti beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Penyertaan yang menggalakkan menunjukkan masyarakat memberi sambutan positif terhadap program yang menggabungkan elemen kesihatan, kekeluargaan dan kemasyarakatan,” katanya pada program berkenaan.
Acara pelepasan jam 7.30 pagi turut disertai anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat; Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
Kemuncak program itu menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
Ahmad Hilmi juga berkata, Jelajah KALA 2026 menjadi platform menggabungkan elemen pembangunan ekonomi, keusahawanan, rekreasi dan kemasyarakatan memberi manfaat kepada masyarakat di Kelantan.




0 Comments