Kes dadah tidak wajar dijadi modal politik

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Berdasar statistik Januari hingga Jun tahun ini berlaku penurunan kes berkaitan dadah dan tangkapan narkortik di negara ini termasuk di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Kaum negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kes berkaitan dadah dan tangkapan menunjukkan penurunan.

Katanya, kes narkotik di Kelantan menurun sebanyak 13 peratus, manakala tangkapan turut berkurangan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kata beliau perkembangan itu membuktikan usaha bersungguh-sungguh yang digerakkan PDRM Kelantan mulai membuahkan hasil dalam memerangi ancaman dadah.

“Bagaimanapun isu dadah tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana tanggungjawab menangani masalah tersebut perlu dilihat berdasarkan kuasa dan bidang tugas kementerian serta agensi berkaitan.

“Tanggungjawab perlu dilihat berdasarkan kuasa dan bidang tugas kementerian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kelantan Ke Sukan Malaysia XXII Selangor dan Para SUKMA di Dewan KTC semalam.

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, tindakan Polis Kelantan mengarah setiap ketua balai menahan seorang penagih setiap hari sebagai strategi membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Zamakhshari juga berkata, masalah penyalahgunaan dadah perlu dilihat sebagai isu sejagat dan tidak wajar dijadikan modal politik.

“Kita akui Kelantan turut berdepan dengan masalah tersebut, namun secara umumnya kita perlu melihat isu ini dari sudut lebih menyeluruh termasuk peranan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Kata beliau Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai autoriti berkaitan isu dadah yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Oleh itu beliau berkata, sekiranya masalah berkaitan dadah bertambah ia perlu dilihat berdasarkan keberkesanan pelaksanaan kawalan dan pencegahan.

“Bagaimanapun apabila hanya di Kelantan dibangkit isu berkenaan sedangkan di negeri lain disenyapkan, ia boleh menimbulkan persepsi negetif yang ada kaitan dengan unsur politik.

“Kerajaan negeri dan Pertubuhan Membanteras Dadah Malaysia (PEMADAM) sentiasa menyokong usaha PDRM mempertingkat penguatkuasaan terhadap jenayah berkaitan dadah,” ujarnya.


 

 

Post a Comment

0 Comments