HULU LANGAT: Seorang sasterawan kelahiran Kampung Baru Pahi, Kuala Krai yang pernah mencipta nama dalam bidang sastera dan kewartawanan kini menderita kanser paru-paru.
Zahari Affandi, 79 sekarang menetap di Kampung Haji Palil Dusun Tua mengidap kanser tahap empat dan terpaksa bergantung kepada mesin oksigen.
Baru-baru ini beliau diziarahi bekas menteri Tan Sri Annuar Musa yang datang bertanya khabar susulan berita mengenainya disiar media.
“Alhamdulillah jumpa juga akhirnya di Kampung Haji Palil Dusun Tua, Hulu Langat. Ziarah Saudara Zahari Affendi, wartawan dan novelis berasal dari Kampung Pahi.
“Semoga Allah SWT permudahkan urusan rawatan dan kembali sihat, insya-Allah,” kata Annuar pada catatan di laman sosialnya.
Zahari merupakan novelis yang dikenali ramai pada era 1970-an dan pernah menerbitkan 49 novel antaranya Bulan Merah di Tiga Kuala (1976), Kunang-Kunang (1979) dan Pelabuhan Yang Ditinggalkan (1980).
Beliau juga menerima Hadiah Karya Sastera. Pernah berkhidmat di Utusan Melayu sehingga 1983 di mana jawatan terakhir Penolong Pengarang Mingguan Malaysia.
Pernah bertugas sebagai Pengarang Edisi Ahad akhbar Harian Nasional pada 1984 sebelum menubuh Syarikat Prodescom Sdn Bhd di Taman Melawati, Setapak.
Selain itu berkhidmat sebagai Pengurus Editor akhbar Mingguan Islam dan Ketua Pengarang akhbar Harian Watan. Sebelum itu bertugas pemberita sambilan di akhbar Mingguan Kota Baharu (Dian Press), Utusan Melayu dan Utusan Zaman.
Zahari juga pernah memiliki syarikat penerbitan, Citra Publishing Sdn. Bhd yang beroperasi di Bandar Baru Bangi (1990), menerbitkan karya-karya kreatif.
Nama sebenarnya Ashaari Ismail, lahir pada 17 Oktober 1947 di Kampung Baru Pahi. Mendapat pendidikan dalam bidang Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia dan Boston University.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan antologi cerpennya Jendelaku Kekasihku (2005) dalam Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke-20.
Beliau juga merupakan adik ipar kepada sasterawan terkenal S Othman Kelantan.
Zahari memberitahu beliau menghidap kanser sejak lima tahun lalu kini semakin serius. Bagaimanapun hampir lapan bulan tidak meneruskan rawatan dan pengambilan ubat khas kerana kekangan kewangan.
Beliau juga pernah menjalani rawatan radioterapi. Ketika ditemui Sinar Harian, katanya pemeriksaan dan ubat mencecah kira-kira RM6,000.
“Saya perlu
mengambil ubat setiap bulan dengan kos sekurang-kurangnya RM400 hingga RM500,
belum termasuk kos rawatan lain,” katanya.
Sehubungan itu kenalan, sahabat handai dan orang ramai yang ingin membantu boleh menyalur sumbangan ke akaun Bank Islam 12029020293744 atas nama Asari Ismail.
Beliau juga boleh dihubungi di talian 019-696 0341 atau isterinya 011-2514 3128 (Puan Ani).



0 Comments