Kelantan bentang semula RUU Kesalahan Syariah

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Sebanyak 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 akan dibentang semula di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 akan dibentang pada sidang Dun Kelantan yang bermula 11 Ogos ini.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, RUU berkenaan diyakini tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Kelantan sebelum ini menubuh Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi meneliti 16 peruntukan yang dibatalkan mahkamah.

Malah kata beliau kajian dibuat secara menyeluruh terhadap enakmen tersebut.

“Jawatankuasa itu dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah bagi memastikan penggubalan baharu mengambil kira alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

“Proses penyediaan RUU berkenaan melalui pelbagai peringkat penelitian, termasuk pembentangan kepada Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya Kota Darulnaim semalam.

Mahkamah Persekutuan pada 2024 membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ekoran kes tersebut dibawa Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan mendakwa peruntukan berkenaan terbatal dan tidak sah kerana berada di luar bidang kuasa Dun.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, proses menggubal semula mengambil masa agak panjang bagi memastikan RUU berkenaan menepati bidang kuasa Dun dan mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Pendekatan penggubalan RUU dibuat dalam ruang lingkup kuasa Dun berdasarkan Senarai Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pewujudan dan penghukuman terhadap kesalahan yang menyentuh perintah agama Islam.

“Pendekatan itu juga selari dengan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mentafsir ‘perintah agama Islam’ sebagai kesalahan yang bersifat keagamaan semata-mata melibatkan aspek akidah, kesucian agama Islam serta institusinya dan moral dalam Islam,” katanya.

Menurut beliau, RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual.

Katanya, ia digubal berasaskan prinsip pith and substance dengan memberi penekanan kepada kewajipan agama sebagai inti pati setiap kesalahan.

“Ia turut disusun mengikut kerangka Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

“RUU ini juga membuktikan undang-undang syariah mampu berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments