Elak pandang ringan undang-undang syariah

 
KOTA BHARU: Umat Islam tidak seharusnya bersikap ‘mati rasa’ apabila undang-undang syariah tidak dipedulikan atau dipandang ringan.

Sedangkan undang-undang syariah berperanan menjaga dan melindungi kehidupan manusia.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, undang-undang Islam digubal untuk melindungi kehidupan manusia dalam masyarakat.

Katanya berpangkal kepada usaha itu Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 secara sebulat suara.

“Orang Islam kena sedar betapa pentingnya RUU tersebut,” katanya pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-18, semalam.

Hadir sama anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Shamsul Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Dr Mohd Zulkufli Zakaria.

Skim Bantuan Imam Al-Ghazali dilaksanakan PMBK bermula pada 2009. Dan tahun ini memasuki tahun ke-18.

Sejak diperkenalkan sehingga 2025, seramai 2,200 pelajar menerima manfaat daripada skim berkenaan dengan jumlah sumbangan keseluruhan dianggar RM1.9 juta.

Jumlah penerima pada peringkat awal pelaksanaan seramai 50 orang dan ditingkat kepada 75 orang mulai 2014 dan 100 orang bermula 2023.

Bantuan berkenaan diberi selama dua tahun kepada pelajar terpilih sebelum digantikan dengan penerima baharu selepas pelajar terdahulu menamatkan pengajian di tingkatan lima.

Kadar bantuan ditingkatkan daripada RM50 kepada RM80 sebulan pada 2019 dan RM100 sebulan mulai 2024. Bantuan itu dikreditkan ke akaun bank setiap penerima.

Menteri Besar turut mengingatkan pelajar Yik supaya menjadi benteng dalam usaha mempertahankan kemurniaan Islam, di samping bersungguh-sungguh menuntut ilmu.

Pada program berkenaan lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpilih menerima Skim Bantuan Imam Al-Ghazali.

Skim berkenaan merupakan program tanggungjawab sosial PMBK bagi membantu pelajar terpilih yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah di bawah kelolaan Yik.

Pada majlis sama, sumbangan sebanyak RM20,000 disalurkan kepada Tabung Cermin Mata bagi membantu pelajar yang memerlukan bantuan berkaitan penglihatan.


 

Post a Comment

0 Comments