SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain, 59 berazam melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan penuh bertanggungjawab, istiqamah dan ikhlas.
Namanya dicadangkan sebagai Timbalan Speaker oleh Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim dan disokong Adun Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli.
Kamarol Ridzuan juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, satu detik yang cukup bermakna. Hari ini (semalam) saya selesai melafazkan sumpah sebagai Adun.
“Insya-Allah, amanah ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan penuh tanggungjawab. Doakan saya terus kuat berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Semalam berlangsung majlis angkat sumpah sebagai Adun selepas pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan.
Bekas Adun Kota, Dato’ Seri Dr Awaludin Said 65, dipilih sebagai Speaker pada sidang Dun khas Negeri Sembilan. Namanya dicadangkan Menteri Besar dan disokong Adun Linggi.
Hanya seorang sahaja pencalonan dicadangkan sebagai Speaker pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dun Negeri Sembilan Ke-16.
Dr Awaludin pernah berkhidmat sebagai Speaker Dun Negeri Sembilan (2013-2018). Dan beliau juga mantan Adun Kota selama empat penggal. Beliau juga Timbalan Ketua Umno Rembau.



0 Comments