KOTA BHARU: Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Sullamiah diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pondok Ahmadiah Bunut Payong sebagai pengajian agama terkenal di Kelantan.
Pondok Ahmadiah diasaskan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad pada tahun 1931. Ia berkembang menjadi pusat pengajian pondok kedua terkenal di Kelantan selepas Pondok Kenali di Kubang Kerian.
SMU(Arab) Sullamiah pula ditubuh pada 1958 di tapak Pondok Bunut Payong bagi memperkukuhkan perkembangan ilmu agama di Kelantan.
Adun Bunut Payong Shaari Mat Yaman berkata, Pondok Bunut Payong antara pusat pengajian ilmu yang mempunyai nilai sejarah dan tradisi tersendiri.
Katanya, pondok itu merupakan institusi pendidikan Islam yang unggul di Bunut Payong kini dikembangkan lagi dengan kewujudan sekolah agama.
“Kami mencadangkan diwujudkan kelas Tingkatan Enam Rendah di sekolah berkenaan bagi membolehkan pelajar dapat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Sebelum ini saya beberapa kali menyebut hasrat ini termasuk pada pertemuan dengan ibu bapa. Malah isu itu juga pernah diketengahkan pada sidang Dun,” katanya.
Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di Kota Darulnaim.
Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik Yayasan Islam Kelantan (YIK), Sukeri Hussin; Timbalan Pengarah Sekolah, Ahmad Pakhruddin Deraman dan Timbalan Pengarah Kenaziran Sekolah, Zawawi Zakaria.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMU (Arab) Sullamiah, Che Zainiah Abdullah dan Pengetua SMU (A) Sullamiah, Muhammad Azzam Ghazali.
Wan Roslan pula berkata, hasrat untuk memperkasakan pengajian ilmu turath di sekolah agama merupakan inisiatif yang baik dan wajar disokong.
Katanya, ia dapat memperkukuhkan penguasaan ilmu agama dalam kalangan generasi muda dan mempertahankan tradisi pengajian tradisional yang sudah lama berakar umbi di Kelantan.
“Pondok Ahmadiah terkenal suatu ketika dahulu dan wajar dikembalikan kegemilangannya sebagai hub ilmu di Bunut Payong.
“Kewujudan SMU (Arab) Sullamiah semakin meningkat dari sudut pembangunan dan pencapaian akademik sedikit sebanyak dapat membantu kegemilangan Pondok Bunut Payong,” katanya.




0 Comments