KOTA BHARU: Atlet
Kelantan yang berjaya memenangi pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII
Selangor 2026 ditawar insentif yang lebih tinggi tahun ini.
Insentif pingat emas dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM6,000. Pingat perak daripada RM2,000 kepada RM3,000, manakala gangsa RM1,500 kepada RM2,000.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) bersetuju menaikkan kadar insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada SUKMA di Selangor.
Katanya, kenaikan itu sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama Kelantan.
“Walaupun kita ada kekangan kewangan tetapi kita perlu meraikan atlet-atlet bagi memberi motivasi supaya mereka membuat yang terbaik,” katanya pada rancangan FOKUS terbitan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen Kelantan berkata, bermula tahun lalu proses pemilihan atlet dilaksanakan menerusi temasya Sukan Kelantan (SUKEL) yang terbuka kepada semua atlet.
Kata beliau SUKEL menjadi antara platform penting untuk menilai prestasi atlet melalui pertandingan sebelum pemilihan dibuat.
“Di situlah kita buat penilaian yang sewajarnya, Insya-Allah kita berharap ia menepati pemilihan yang ditetapkan. SUKEL dianjurkan secara dwitahunan diuruskan Majlis Sukan Negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zamakhshari mengingatkan atlet yang bakal mewakili Kelantan supaya memberikan aksi terbaik kerana mereka membawa nama dan maruah negeri.
Kontinjen Kelantan menyasarkan kutipan 34 pingat keseluruhan iaitu 16 emas, tujuh perak dan 11 gangsa.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan kontinjen terbesar dengan kekuatan 751 anggota kontinjen. Mereka akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.




0 Comments