Kota Bharu muncul destinasi pelancongan perubatan

 
Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Kelantan mempergiatkan promosi pelancongan perubatan (medical tourism) bagi menarik lebih ramai pesakit dari negara jiran mendapatkan rawatan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Kamarudin Md Nor berkata, kerajaan negeri menyasarkan pelancong perubatan dari Indonesia, Thailand dan Brunei.

Katanya, Kelantan mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan perubatan berikutan kemudahan hospital bertaraf baik, kepakaran perubatan serta kos rawatan berpatutan.

“Antara fokus yang dipromosikan pelancong perubatan datang ke Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan di hospital-hospital terpilih,” katanya ketika merasmikan pembukaan Rovers Hotel @ Kubang Kerian di sini semalam.

Hotel tersebut terletak berhampiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Kamarudin juga berkata, hospital-hospital terpilih di Kelantan mempunyai standard perkhidmatan yang tidak kurang berbanding hospital di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka.

Bagaimanapun kata beliau kelebihan Kelantan dari segi kos rawatan yang lebih berpatutan dan rendah berbanding negeri-negeri di Pantai Barat.

Menurutnya sehingga sekarang terdapat pesakit dari Indonesia, khususnya Sumatera dan Jawa yang datang mendapatkan rawatan termasuk rawatan susulan di HPUSM dan Hospital Pakar Perdana.

“Saya yakin jumlah pelancong kesihatan akan bertambah berkali ganda pada masa akan datang. Kita juga merancang memperluaskan promosi ke Brunei dan Thailand.

“Bagi pesakit dari Selatan Thailand, kebanyakan hospital yang mempunyai kemudahan lengkap terdapat di Bangkok yang terletak lebih 1,000 kilometer.

“Jadi, mereka boleh datang mendapatkan rawatan di Kota Bharu dengan kos yang lebih rendah. Tambahan pula, nilai mata wang Thailand yang lebih tinggi pada masa ini,” katanya.

Menurutnya juga kebanyakan penduduk Brunei sebelum ini mendapat rawatan di Singapura, di mana di sana terdapat doktor berasal dari Kelantan yang berkhidmat di beberapa hospital swasta.

Kamarudin juga berkata, tenaga kejururawatan Malaysia mendapat permintaan tinggi di negara-negara Timur Tengah kerana terkenal dengan sifat peramah dan lembut.

Kata beliau Kelantan secara keseluruhannya sudah hampir bersedia untuk menceburi bidang hospitaliti dan ‘medical tourism’ secara lebih menyeluruh.

Katanya, kerajaan negeri pada asasnya terlibat dalam aspek permit, lesen serta peraturan dan kawal selia bagi memastikan industri berkenaan berkembang mengikut peraturan ditetapkan.

Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada pengusaha hotel berkenaan, Amin Zubair Muhammad yang mengambil inisiatif menyediakan kemudahan penginapan berhampiran hospital.

“Kemudahan yang disediakan boleh dimanfaatkan pesakit dan keluarga mereka yang mendapatkan rawatan, menjalani rawatan susulan atau sebagai tempat berehat.

“Saya difahamkan hotel ini mempunyai kemudahan yang baik sesuai dengan kelasnya, selain menawarkan harga yang berpatutan,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments