Kelantan sasar 23 emas Para SUKMA 2026

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Kelantan menyasar membawa pulang 16 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos ini.

Selain pingat emas Kelantan turut menyasar tujuh perak dan 11 gangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, Kelantan akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA 2026.

Katanya, jumlah keseluruhan kontinjen Kelantan seramai 751 orang yang melibatkan 582 atlet dan 169 pegawai.

“Penyertaan kali ini adalah terbesar sepanjang sejarah penyertaan Kelantan dalam temasya SUKMA,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kelantan ke SUKMA XXII dan Para SUKMA di Selangor di Dewan Kelantan Trade Centre (KTS) semalam.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamad Faziharudean Tengku Feissal dan wakil-wakil rakyat.

Zamakhshari juga berkata, bagi kontinjen Para SUKMA pula, Kelantan menyasarkan kutipan 23 emas, 19 perak dan 17 gangsa.

Tambahnya Kelantan menghantar 93 anggota kontinjen Para SUKMA yang terdiri daripada 62 atlet dan 31 pegawai.

“Kontinjen Para SUKMA akan menyertai lapan daripada 10 kategori sukan yang dipertandingkan. Kerajaan negeri meletakkan sasaran pingat berdasar analisis yang dilakukan pengurusan kontinjen dan Majlis Sukan Negeri,” katanya.

Menurutnya sasaran berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya dibuat berdasarkan prestasi atlet serta analisis terhadap keupayaan kontinjen Kelantan.

Oleh itu, beliau berharap seluruh atlet dapat mempamer persembahan terbaik dan mengekalkan semangat juang sepanjang temasya berlangsung.


 

 

Post a Comment

0 Comments