Oleh Damia Hama |
KOTA BHARU: Persiapan
prasarana sukan bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-23 dan Para SUKMA 2028 di Kelantan kini berjalan lancar.
Sehingga 22 Jun lalu kemajuan persiapan venue sukan secara keseluruhannya berada pada landasan yang baik.
Pembinaan Stadium Bukit Merbau sudah mencapai kemajuan 35.4 peratus berbanding jadual ditetapkan 35.5 peratus.
Manakala pembinaan Kompleks Sukan Jeli mencatat kemajuan 81 peratus berbanding jadual 80 peratus. Pembinaan Pusat Akuatik mencapai 23 peratus berbanding jadual ditetapkan 25 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, perkembangan projek tersebut melibatkan venue di Bukit Merbau dan venue lain.
Katanya, bagi trek bagi acara lompat jauh kemajuan yang dijadualkan 17.6 peratus, manakala pencapaian sebenar ialah 16.7 peratus.
“Berlaku perbezaan kecil di beberapa venue dan ia tidak menjejaskan keyakinan kerajaan negeri terhadap keseluruhan persiapan dapat diselesaikan mengikut jadual.
“Insya-Allah, kita berharap semuanya dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya pada najlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kelantan ke SUKMA XXII Selangor dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan KTC semalam.
Program itu dirasmikan Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Sementara itu Menteri Besar berkata, penganjuran temasya SUKMA dan Para SUKMA di Kelantan 2028 diharap sebagai terbaik dalam sejarah sukan tersebut.
Katanya, bukan sahaja dari sudut pengurusan temasya, malah aspek pencapaian kontinjen, pembangunan infrastruktur sukan dan mewujudan legasi untuk generasi akan datang.
“Kelantan komited memastikan penganjuran SUKMA ke-23 dan Para SUKMA 2028 akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin termasuk memastikan seluruh venue pertandingan siap mengikut jadual.
“Penganjuran temasya itu merupakan penghormatan besar kepada Kelantan kerana buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran sukan terbabit diadakan di negeri ini,” ujarnya.
Kata beliau kepercayaan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan Kelantan menganjurkan temasya sukan bertaraf kebangsaan dan dapat memperkukuh imej Kelantan di peringkat nasional.
"Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN) bersama Sekretariat SUKMA Kelantan melaksanakan pelbagai perancangan dan persiapan untuk menerima kehadiran ribuan atlet, pegawai serta pengunjung dari seluruh negara.





0 Comments