
KOTA BHARU: Langkah
kerajaan negeri mengurangkan birokrasi dalam urusan berkaitan wakaf tanah diharap
dapat menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat melaksanakan ibadah wakaf.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, urusan wakaf tanah kini dipermudah menerusi pendekatan pusat sehenti.
Menurutnya, penambahbaikan itu susulan kelulusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada 31 Disember 2025 yang membawa kepada pelaksanaan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 7 Tahun 2026.
“Urusan permohonan serentak bagi penyerahan balik dan perizaban tanah kini dapat dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Bulan Wakaf MAIK 2026 di sini semalam.
Oleh itu beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas sokongan serta kelulusan yang memudahkan urusan wakaf tanah kepada MAIK.
Kata beliau usaha berkenaan bukan sahaja mengurangkan kerenah birokrasi, malah membuka ruang kepada lebih ramai anggota masyarakat menyertai ibadah wakaf.
“Usaha ini seterusnya dapat membantu mengukuhkan sosioekonomi ummah di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau juga berkata, kutipan wakaf tunai MAIK meningkat 38.44 peratus kepada RM1.37 juta bagi tempoh Januari hingga 22 Ogos lalu.
Tengku Mohamad Rizam juga berkata, sebanyak 16 projek berimpak tinggi turut dilaksanakan menerusi dana wakaf tunai MAIK dengan jumlah keseluruhan RM1,196,961.42 meliputi bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kemudahan asas.
“Manfaat secara langsung dan berterusan itu dapat dinikmati masyarakat di seluruh Kelantan,” katanya.
Beliau juga berharap wakaf terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Kelantan dan diperkasakan melalui pelbagai program serta projek yang memberi manfaat kepada rakyat.


0 Comments