KOTA BHARU: Program permotoran yang dianjurkan beberapa pihak di Kelantan secara tidak langsung dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, program terbabit termasuk perhimpunan peminat RXZ, motocross, acara lasak 4x4 dan motorhome.
Katanya, program terbabit dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab mendapat sambutan menggalakkan dengan sokongan padu kerajaan negeri.
“Misalnya program perhimpunan RXZ yang diadakan di Bandar Baru Tunjong pada awal tahun ini berjaya mengumpulkan lebih 50,000 pengunjung,” katanya menjawab soalan Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
RXZ Forever Legend dianjurkan pada 7 Februari lepas di RTC Tunjong dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Program julung kali diadakan di Kelantan menghimpunkan kira-kira 50,000 peserta dari seluruh Malaysia.
Penganjuran program terbabit bertujuan menghimpunkan komuniti peminat motosikal RXZ dari seluruh negara bagi memupuk penglibatan belia dalam aktiviti automotif secara berhemah, berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya.
Kamarudin berkata, penganjuran program berskala besar tersebut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan dan perkembangan sektor pelancongan di Kelantan.
Begitu juga kata beliau program Kelantan International Jamboree 4x4 2026 yang diadakan di Kuala Balah Mei lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan tersebut.
Bagaimanapun katanya program 4x4 dan motocross perlu mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menjejaskan ekosistem.
“Begitu juga program motorhome turut mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara sekarang. Oleh itu pihak berkuasa tempatan hendaklah menyediakan kemudahan bagi membolehkan peminat motorhome melaksanakan aktiviti di tempat mereka.
“Pada dasarnya
kerajaan sangat berpuas hati dengan penganjuran sukan permotoran.
Penganjurannya setakat yang saya lihat sangat memuaskan, bahkan lebih baik,”
ujarnya.



0 Comments