KOTA BHARU: Kerja-kerja tanah dan penambunan bagi pembinaan projek KB Sentral dijangka siap pada Mei 2027 yang melibatkan kos tambahan RM14 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin bagaimanapun berkata, kerajaan negeri masih lagi mencari kontraktor yang sesuai bagi melaksanakan pembinaan KB Sentral.
“Kalau kontraktor itu komputer, ChatGPT, kita tidak akan buat. Jadi kita kena pilih yang terbaik. Lambat tak apa asalkan projek menjadi kenyataan,” katanya menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dun hari ini.
KB Sentral dirancang dibina bagi melengkapkan hab pengangkutan bersepadu berhampiran Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek terbabit dianggar melibatkan kos kira-kira RM64 juta.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelstone Cosmos Laboratory di Bandar Baru Tunjong bukan di bawah seliaan penuh kerajaan negeri.
Katanya, makmal tersebut merupakan projek usahasama pihak swasta bersama Kelstone Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Oleh itu katanya status perancangan dan penanda arasan makmal tersebut di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Namun begitu projek itu sebagai menyokong hasrat Kelantan sebagai hub industri RBE yang berdaya saing.
“Malah kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian mempunyai makmal baharu iaitu Makmal Geokimia Negeri Kelantan (MGNK),” katanya menjawab soalan Dato’ Shaari Mat Husain (PN-Paloh).
Menurutnya juga makmal MGNK dilengkapi dengan peralatan analisis yang canggih dan lengkap bagi menguji serta meneliti sampel.




0 Comments