Ribuan anak muda konvoi motosikal ke masjid

 

Oleh Asri Hazim |

KOTA BHARU: Pendidikan berkaitan solat perlu dimulakan sejak usia kanak-kanak lagi bagi membentuk kefahaman dan disiplin dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, anak-anak hendaklah dididik mengenai kewajipan solat sejak berusia tujuh tahun dan boleh dirotan jika tidak melaksanakan solat setelah berumur 10 tahun.

Katanya, kerajaan negeri sejak berpuluh tahun menganjurkan program Bulan Solat setiap tahun sebagai usaha menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan solat.

“Kita berusaha membudayakan amalan tersebut dalam kehidupan seharian,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Subuh di Dataran Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian Jumaat lepas.

Sebelum itu beliau menyambut rombongan konvoi motosikal dari Stadium Sultan Muhammad IV menuju ke masjid berkenaan anjuran RXZ Forever Legend.

Kemudian Menteri Besar bersama anak-anak muda dan ahli jemaah menunaikan solat Subuh. Kehadiran mereka memenuhi setiap ruang masjid.  

Turut hadir anggota-anggota Exco Kerajaan negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Zamakhshari Muhammad; Ketua Jajahan Kota Bharu Rosdi Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli.


Sementara itu Zamakhshari berharap anak-anak muda menjadikan masjid sebagai tempat untuk membina ukhuwah, mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memulakan hari dengan ibadah.

Katanya, usaha mendekatkan golongan muda dengan masjid boleh dimulakan dengan aktiviti sederhana.

“Ajak datang, duduk bersama, solat bersama dan pulang membawa hati yang lebih dekat kepada Allah. Semoga usaha ini enjadi ruang untuk anak muda mendekatkan diri dengan masjid,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments